WASHINGTON: Pegawai keselamatan lapangan terbang Amerika Syarikat (AS) gagal menerima gaji penuh pertama mereka pada 13 Mac ketika penutupan sebahagian pembiayaan kerajaan menghampiri tempoh sebulan, susulan kebuntuan di Kongres yang masih belum menemukan penyelesaian.
Situasi itu mula menjejaskan perjalanan di seluruh negara apabila ribuan kakitangan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) terpaksa terus bekerja tanpa gaji ketika perjalanan musim bunga semakin sibuk.
Keadaan tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai kekurangan kakitangan, barisan pemeriksaan keselamatan yang semakin panjang serta kemungkinan berlaku kelewatan penerbangan.
Pegawai TSA yang bertanggungjawab menyaring penumpang, bagasi dan kargo sebelum ini hanya menerima sebahagian gaji dua minggu lalu.
Pembayaran yang tertunggak pada 13 Mac mewakili cek penuh pertama yang terlepas sejak penutupan kerajaan bermula, dengan kesatuan pekerja dan pegawai kerajaan memberi amaran tekanan kewangan memaksa sebahagian pekerja berhenti atau mencari pekerjaan lain.
Jabatan Keselamatan Dalan Negeri AS (DHS) memaklumkan lebih 300 kakitangan TSA meninggalkan agensi itu sejak penutupan bermula pada Sabtu.
Media AS turut melaporkan ketidakhadiran tanpa jadual dalam kalangan kakitangan meningkat lebih dua kali ganda.
Beberapa lapangan terbang di bandar pula menasihatkan penumpang supaya tiba lebih awal daripada biasa berikutan barisan pemeriksaan keselamatan yang panjang.
Pegawai kesatuan pekerja berkata, sebahagian anggota keselamatan itu terpaksa mengambil pekerjaan kedua atau bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk menampung kehidupan.
Beberapa lapangan terbang utama pula mula mengumpul kad hadiah serta menyediakan pantri makanan bagi membantu kakitangan TSA yang bergelut tanpa gaji ketika musim cuti musim bunga yang menyaksikan peningkatan jumlah penumpang.
“Ramai pekerja memaklumkan kepada saya bahawa akaun bank mereka kini kosong atau negatif.
“Tiada wang untuk penjagaan anak, tiada wang untuk makanan. Mereka hanya mahu tahu mengapa mereka tidak boleh dibayar sedangkan kita mempunyai wang untuk melancarkan peluru berpandu ke negara lain,” kata Johnny Jones, pegawai kesatuan pekerja kerajaan AFGE yang berpangkalan di Dallas, kepada USA Today.
Penutupan kerajaan itu berpunca daripada pertikaian mengenai pembiayaan bagi DHS, satu-satunya jabatan persekutuan yang masih belum mempunyai bajet diluluskan selepas Kongres melengkapkan kebanyakan rang undang-undang perbelanjaan bagi tahun 2026.- AFP










