PETALING JAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali mengesahkan bahawa beliau telah pun melepaskan jawatannya sebagai Bendahari Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) yang berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata, keputusan tersebut diambil selepas berbincang dengan Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berhubung komitmennya yang kini lebih tertumpu kepada perniagaan dan sukar untuk membahagikan masanya bersama badan induk sukan permotoran negara itu.
“Mengenai kenyataan yang dikeluarkan daripada MAM berkaitan dengan peletakan jawatan saya sebagai Bendahari, saya sahkan memang betul.
“Saya sahkan perkara ini selepas perbincangan saya dengan Presiden MAM yang mana saya rasa saya tidak dapat memberikan komitmen masa untuk MAM setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Razlan, perniagaannya kini sedang rancak berkembang dan disebabkan komitmennya itu, beliau lebih rela melepaskan jawatan sebagai Bendahari MAM serta menyerahkan kepada individu yang sesuai menggalas peranan tersebut.
“Lebih elok jawatan itu diberikan kepada orang lain yang boleh menyumbang. Saya tidak mahu memegang jawatan, tetapi, tidak mampu menyumbang dan mungkin ia dapat memberi peluang kepada orang baharu menerajui MAM dengan lebih baik daripada saya,” ujar beliau.
Bagaimanapun, Razlan menegaskan, perletakkan jawatan tersebut tidak bermakna beliau tidak lagi berminat untuk terlibat dalam aktiviti sukan bermotor kerana hubungannya dengan pemegang taruh (stakeholders) serta Dorna masih kekal utuh.
Sementara itu, MAM dalam kenyataan media berkata, Razlan telah menghantar surat perletakkan jawatannya sebagai Bendahari berkuat kuasa serta-merta bagi memberi fokus kepada perniagaan.
“Razlan telah menjadi tonggak penting dalam dunia sukan permotoran selama beberapa dekad. Minat mendalamnya terhadap perlumbaan dan penganjuran acara membawanya berkhidmat di SIC di mana beliau berjaya mewujudkan suasana yang mengujakan bagi acara antarabangsa seperti Formula 1 (F1) dan MotoGP.
“Dedikasinya terhadap sukan permotoran dua roda membawa kepada penubuhan SIC Racing Team dan akhirnya pasukan miliknya sendiri, RNF Racing MotoGP Team. Sepanjang kerjayanya, pembangunan bakat pelumba sentiasa menjadi matlamat utama beliau,” kata kenyataan itu. – UTUSAN










