PETALING JAYA: Polis masih memburu tiga lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes khianat dan ugutan jenayah di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong, minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tiga suspek tersebut masih giat dikesan pihaknya bagi membantu siasatan.
“Polis masih mengesan suspek yang masih bebas. Tujuh suspek yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Pada 16 Mac lalu, media melaporkan penahanan 12 individu termasuk seorang wanita tempatan bagi membantu siasatan kes khianat dan ugutan jenayah membabitkan aktivis S. Chandrasegaran, 47, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong, minggu lalu.
Tangkapan semua suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun itu dilakukan melalui operasi bersepadu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang bermula Khamis lalu hingga semalam di beberapa lokasi antaranya kawasan Banting, Subang dan Serdang.
Shazeli dilaporkan berkata, daripada jumlah keseluruhan tangkapan, tujuh suspek dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan insiden yang disiasat termasuk perancang utama.
“Seramai tujuh suspek masih ditahan bagi membantu siasatan manakala lima suspek dibebaskan dengan jaminan polis.
“Dalam tangkapan ini, kita juga berjaya menahan perancang utama insiden berkenaan manakala motif kejadian berdasarkan siasatan adalah disebabkan rasa tidak puas hati dan terguris perasaan,” katanya.- UTUSAN










