PETALING JAYA: Perubahan strategi dan taktikal pada separuh masa kedua menjadi kunci utama kejayaan Kuching City FC ketika menewaskan Imigresen FC 1-0, kelmarin.
Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak memuji anak buahnya yang berjaya melaksanakan pelan permainan dengan baik walaupun berdepan cabaran bermain pada bulan puasa.
“Separuh masa pertama pemain agak gementar, tetapi selepas beberapa pertukaran, kami dapat membuka permainan dan mencipta lebih banyak peluang,” katanya selepas perlawanan.
Beliau turut gembira dengan peningkatan prestasi pasukan lawan yang memberi saingan sengit kepada anak buahnya.
“Penjaga gol mereka bermain dengan sangat baik, namun kami berjaya mencapai objektif tiga mata,” tambahnya.
Kemenangan ini meningkatkan keyakinan pasukan menjelang perlawanan penting menentang Sabah dan Penang FC selepas ini.
“Misi kami bukan sekadar berada dalam kelompok tiga teratas, tetapi untuk berkembang sebagai satu pasukan dan menjadi lebih baik daripada musim lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Imigresen FC, Yusri Che Lah, menegaskan pemainnya telah berjuang dengan baik dan menggesa mereka untuk bangkit semula pada perlawanan akan datang.
“Dengan keputusan ni kita bukan berpuas hati tapi kita menerima keputusan dengan penuh kedukaan.
“Kita membuka semula Stadium Tunku Syed Putra dengan kekalahan, dan bagi saya kekalahan 1-0 ni tidak mematahkan semangat para pemain kerana mereka berjuang dengan cukup baik.
“Walaupun ditewaskan di minit-minit akhir, apa pun perjuangan kita masih lagi belum terlambat,” katanya.-UTUSAN











