MELBOURNE: Prosedur baharu Formula Satu (F1) berisiko mengundang kemalangan besar di litar yang boleh membahayakan nyawa pelumba.
Kebimbangan itu timbul selepas insiden cemas pada pembukaan musim di Grand Prix Australia apabila Franco Colapinto hampir melanggar Liam Lawson yang lewat bergerak akibat masalah kuasa bateri.
Pelumba Cadillac, Sergio Perez berkata, situasi itu jelas menunjukkan risiko besar yang boleh berlaku dalam tempoh beberapa saat pertama perlumbaan apabila kereta lain memecut pada kelajuan tinggi.
“Memang menyedihkan untuk saya katakan tentang risiko ini, tetapi F1 kini hanya menunggu masa sebelum kemalangan besar berlaku.
“Unit kuasa baharu ini sangat sukar untuk dihidupkan dan anda boleh mendapat permulaan yang baik atau buruk bergantung kepada banyak faktor kecil,” kata Perez.
Lawson pula memuji tindakan pantas Colapinto yang berjaya mengelakkan perlanggaran walaupun keretanya hampir dirempuh dari belakang.
“Saya sudah bersedia untuk menerima hentaman kerana ketika melihat cermin sisi, kereta Franco sudah sangat hampir dan saya pasti dia akan melanggar saya.
“Namun reaksinya sangat pantas untuk mengelak dan saya benar-benar bernasib baik kerana jika tidak, ia pasti menjadi kemalangan besar,” kata Lawson. – AGENSI










