PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tampil memperjelaskan perbezaan antara proses pendaftaran pemain naturalisasi dan pemain warisan susulan kekeliruan yang timbul dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Penjelasan itu dibuat selepas timbul persoalan mengenai status beberapa pemain termasuk trio Johor Darul Ta’zim iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero yang didaftarkan sebagai pemain tempatan.
Malah, isu berkenaan turut mencetuskan reaksi apabila sekumpulan penyokong mengadakan bantahan aman di hadapan pejabat MFL di Kelana Jaya, semalam bagi menuntut penjelasan rasmi.
Menurut MFL, proses pengesahan dan pendaftaran pemain adalah berpandukan Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, khususnya di bawah Perkara 4.5.9 yang menjelaskan syarat berkaitan status pemain.
MFL memaklumkan, pendaftaran Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero adalah mematuhi peraturan pertandingan apabila mereka menggunakan kad pengenalan sah sebagai warganegara Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Penjelasan itu turut merujuk kepada Manual Liga Malaysia di bawah Artikel 3 berkaitan sistem pendaftaran pemain menerusi platform MYPAS (FIFA CONNECT) yang mewajibkan dokumen seperti salinan kad pengenalan atau pasport berwarna.
“Perkara ini turut dijelaskan menerusi surat perkeliling kepada semua kelab Liga Malaysia bertarikh 12 Jun 2025, perkara 8.2 menyatakan dokumen-dokumen yang wajib dikemaskini dan dimuatnaik dalam format pdf untuk proses kelulusan bagi a) Pemain Tempatan Dan Asing: i. Salinan kad pengenalan berwarna ATAU salinan passport berwarna.
“Sepertimana kenyataan media MFL pada 13 Mac lalu, empat pemain itu sudah didaftarkan dalam Liga Malaysia sebagai pemain tempatan dan bukan pemain naturalisasi.
“Sebagai pemain tempatan, keempat-empat pemain ini boleh didaftarkan terus bagi saingan Liga Malaysia 2025-2026 di mana Figueiredo, Irazabal dan Hevel didaftarkan pada tempoh pertama pendaftaran pemain 9 Jun hingga 31 Ogos 2025 oleh JDT manakala Palmero yang ketika itu dibebaskan sementara daripada hukuman penggantungan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) didaftarkan oleh Kuching City FC pada tempoh kedua pendaftaran pemain, 5 Januari hingga 1 Februari 2026.
“Malah keputusan MFL untuk mengiktiraf pemain berkenaan sebagai pemain tempatan turut diperakui oleh Konfederasi Bolasepak Asia menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Windsor John pada 13 Mac lalu dengan menjelaskan bahawa tiada sebarang isu berkenaan keputusan yang diambil kerana ia mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia,” menurut kenyataan MFL.
Dalam masa sama, MFL mengambil maklum tindakan penyokong yang berhimpun, namun menegaskan setiap pihak perlu menyalurkan pandangan melalui saluran yang betul tanpa menjejaskan keharmonian industri bola sepak negara.
“Sebagai badan pengelola liga profesional negara, MFL sentiasa komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan peraturan pertandingan serta mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk kelab, pemain, penyokong dan rakan industri.
“MFL meminta semua pihak menyalurkan sebarang pandangan atau ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul demi memastikan keharmonian dan imej bola sepak negara terus terpelihara,” kata MFL.-UTUSAN










