BRISBANE: Dua pemain bola sepak wanita Iran kini menjalani latihan bersama kelab Australia, Brisbane Roar selepas memohon suaka di negara itu, dengan salah seorang memuat naik gambar bersama pegawai kanan FIFA, Jill Ellis disertakan kapsyen: “Semua akan baik-baik saja.”
Tujuh ahli delegasi bola sepak Iran yang bertanding pada Piala Asia Wanita minggu lalu mencari perlindungan di Australia selepas mereka dituduh sebagai ‘pengkhianat’ negara sendiri kerana enggan menyanyikan lagu kebangsaan ketika perlawanan pembukaan.
Namun begitu, hanya dua pemain, Fatemeh Pasandideh dan Atefeh Ramezanisadeh kekal di Australia selepas yang lain menukar fikiran dan memutuskan untuk pulang.
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa Tehran menekan atlet di luar negara dengan mengancam keluarga mereka atau merampas harta jika mereka melarikan diri atau membuat kenyataan menentang Republik Islam itu.
Sebaliknya, pihak berkuasa Iran mendakwa Australia sebenarnya menekan pemain supaya kekal di negara itu.
“Selamat datang, Fatemeh Pasandideh dan Atefeh Ramezanisadeh. Hari ini, Brisbane Roar secara rasmi mengalu-alukan kedua-dua pemain di fasiliti latihan kelab untuk menyertai latihan bersama skuad wanita A-League kami.
“Kami komited menyediakan persekitaran yang menyokong mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Brisbane Roar, Kaz Patafta, ketika menyiarkan gambar kedua-dua pemain berlatih dan tersenyum bersama pasukan wanita A-League semalam.
Kedua-dua pemain itu ditempatkan di lokasi yang dirahsiakan dan menerima sokongan daripada kerajaan dan komuniti diaspora Iran di Australia.
Drama itu berlaku di tengah-tengah konflik di Asia Barat yang tercetus selepas serangan udara AS-Israel ke atas Iran.
Selepas berita minggu lalu pemain diberi perlindungan, Brisbane Roar mengeluarkan kenyataan mereka mengalu-alukan pemain bola sepak Iran itu.
“Kami berbesar hati membuka pintu dan menawarkan ruang untuk anda berlatih, bermain dan berasa diterima, serta akan mula meneroka cara untuk merealisasikannya,” menurut kenyataan kelab itu. –AGENSI










