LONDON: Bos Everton, David Moyes tampil mempertahankan pendekatan taktikal Arsenal yang dikritik kebelakangan ini, sambil menyifatkan pengendalinya Mikel Arteta sebagai jurulatih hebat.
Arsenal yang kini memimpin carta Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi sasaran kritikan kerana kerap menggunakan situasi bola mati terutama sepakan penjuru sebagai senjata utama menjaringkan gol.
Namun Moyes menegaskan kekuatan fizikal dan keberkesanan bola mati bukan satu masalah sebaliknya sebahagian daripada strategi yang sah dalam bola sepak moden.
“Kenapa ia perlu dianggap masalah hanya kerana Arsenal sangat bagus dalam situasi bola mati dan mereka juga pasukan yang kuat dari segi fizikal.
“Saya tidak nampak apa-apa masalah dengan perkara itu kerana ia sebahagian daripada permainan bola sepak,” kata Moyes.
Moyes yang pernah membimbing Arteta ketika pemain tengah Sepanyol itu beraksi bersama Everton turut memuji kejayaan Arsenal yang masih bersaing dalam semua kejohanan musim ini.
Arsenal kini selesa di puncak liga dengan kelebihan tujuh mata ke atas Manchester City selain bakal menentang pasukan kendalian Pep Guardiola itu dalam aksi final Piala Liga 2026 di Wembley pada 22 Mac ini.
Sementara itu pengendali Brighton, Fabian Huerzeler yang sebelum ini mengkritik Arsenal turut mengakui beliau menghormati pencapaian Arteta musim ini.
“Arteta bagi saya adalah antara pengurus terbaik dunia dan seorang contoh yang hebat.
“Jika Arsenal memenangi Liga Perdana musim ini, mereka sememangnya layak kerana apa yang dicapai pasukan itu sangat luar biasa,” kata Huerzeler. – AGENSI










