Mercedes sapu petak depan pecut China

Mercedes sapu petak depan pecut China

KIMI Antonelli ketika beraksi di Shanghai, China, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: Pendahulu kejuaraan dunia Formula Satu (F1), George Russell terus mempamerkan dominasi apabila menghadiahkan Mercedes petak utama bagi perlumbaan pecut Grand Prix (GP) China selepas mencatat masa terpantas 1 minit 31.520 saat (s) di Litar Shanghai, hari ini.

Lebih manis buat Mercedes, pelumba muda sensasi Kimi Antonelli melengkapkan penguasaan barisan hadapan pasukan itu apabila menamatkan sesi kelayakan di tempat kedua dengan perbezaan 0.289s di belakang Russell.

Juara dunia bertahan, Lando Norris dari McLaren akan memulakan perlumbaan di petak ketiga selepas insiden gangguan ketika sesi SQ2 melibatkan Antonelli yang bagaimanapun tidak dikenakan sebarang tindakan oleh stewards.

Dua jentera Scuderia Ferrari yang dipandu Lewis Hamilton dan Charles Leclerc masing-masing berada di kedudukan keempat dan keenam dengan Oscar Piastri dari McLaren menyelit di tangga kelima.

Russell mengakui jentera Mercedes berada dalam keadaan terbaik selepas memulakan musim dengan kemenangan di GP Australia minggu lalu.

“Jentera kami terasa luar biasa dan sejak di Melbourne lagi kami tahu kereta ini benar-benar kompetitif dengan enjin yang berfungsi sangat baik

“Ia sangat pantas dan amat menyeronokkan untuk dipandu hari ini, malah terasa berbeza berbanding perlumbaan di Melbourne,” kata Russell.

Sementara itu Norris menegaskan kedudukan ketiga sudah memadai buat masa ini selepas berjaya menewaskan kedua-dua jentera Ferrari dalam sesi kelayakan.

“Tempat ketiga adalah keputusan terbaik yang kami mampu capai sekarang dan saya gembira dapat menewaskan Ferrari kerana mereka kelihatan sangat kuat sepanjang hari.

“Ini posisi yang baik untuk perlumbaan esok,” kata Norris.

Perlumbaan pecut sejauh 100 kilometer (km) itu menawarkan lapan mata kepada pemenang sebelum aksi utama GP berlangsung Ahad ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN