Melaka tekad raih mata dalam lima baki aksi, elak kekal tercorot

Melaka tekad raih mata dalam lima baki aksi, elak kekal tercorot

PENGENDALI Melaka FC, E. Elavarasan.-UTUSAN/AMRAN MULUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka FC bertekad mengharungi lima baki perlawanan dalam saingan Liga Super dengan misi mengutip mata sebanyak mungkin bagi mengelak terus kekal di tangga tercorot liga musim ini.

Skuad kendalian jurulatih E. Elavarasan itu masih mempunyai lima perlawanan penting iaitu menentang Sabah FC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Negeri Sembilan FC, Kuching City dan Imigresen FC sebelum saingan Liga Super menutup tirai musim ini.

Keyakinan Melaka sedikit meningkat selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kelantan The Real Warrios FC (TRW) pada aksi liga yang berlangsung di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Elavarasan berkata, sasaran Melaka FC kini adalah untuk memenangi kesemua lima perlawanan yang masih berbaki.

“Kami masih ada lima perlawanan lagi dan sasaran kami jelas iaitu cuba memenangi kesemuanya bagi memperbaiki kedudukan pasukan daripada terus duduk di tangga terbawah liga.

“Selepas Aidilfitri nanti, kami akan kembali berkumpul dan menyusun semula persiapan bagi menghadapi baki saingan liga,” katanya selepas tamat perlawanan malam tadi.

Mengulas kemenangan ke atas TRW Elavarasan berkata, kemenangan itu amat penting kerana pemainnya menunjukkan semangat juang tinggi walaupun pasukan terlebih dahulu ketinggalan.

“Kita tahu perlawanan ini sangat penting dan tiada alasan bagi pasukan. Walaupun ketinggalan 0-1 pada awal permainan, pemain terus berjuang sepanjang separuh masa pertama untuk mendapatkan gol penyamaan,” katanya.

Ujarnya, gol penyamaan itu sangat penting kerana ia memberi keyakinan kepada pasukan untuk menghadapi separuh masa kedua.

Menurutnya, beberapa perubahan taktikal yang dilakukan selepas rehat berjaya membantu Melaka menstabilkan corak permainan sebelum meraih gol kemenangan menerusi jaringan pemain gentian, Che Rashid Che Halim.

Beliau turut memuji peranan pemain gantian yang disifatkan memberi impak besar kepada pasukan.

“Sesiapa sahaja yang masuk dari bangku simpanan malam ini banyak membantu pasukan dan itu membuat perbezaan kepada Melaka sebagai satu pasukan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN