McIlroy tarik diri akibat cedera

McIlroy tarik diri akibat cedera

RORY MCLLROY - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAY HILL: Bintang golf dunia, Rory McIlroy menarik diri daripada saingan Jemputan Arnold Palmer  hanya kira-kira 30 minit sebelum pusingan ketiga bermula semalam selepas mengalami kecederaan belakang.

Menurut kenyataan PGA Tour, pemain berusia 36 tahun itu membuat keputusan tersebut selepas kesakitan di bahagian belakangnya semakin teruk ketika melakukan persiapan sebelum turun beraksi di Bay Hill, Florida.

McIlroy berkata, kesakitan itu mula dirasai ketika sesi memanaskan badan di gimnasium pada sebelah pagi sebelum bertukar menjadi kekejangan otot di bahagian bawah belakang ketika dia mula memukul bola di lapangan latihan.

“Saya mula rasa sedikit sakit di belakang ketika memanaskan badan pagi ini. Apabila saya mula memukul bola sebelum pusingan, kesakitan itu semakin teruk dan menjadi kekejangan di bahagian bawah belakang.

“Malangnya saya tidak dapat meneruskan permainan dan terpaksa menarik diri. Saya sebenarnya sangat teruja untuk bersaing pada hujung minggu ini,” katanya.

McIlroy turut berharap kejohanan jemputan yang dinamakan sempena legenda golf, Arnold Palmer, itu akan berlangsung dengan baik sehingga penamat.

Pemenang 29 gelaran Jelajah PGA itu sebelum ini hanya pernah menarik diri sekali daripada acara jelajah, iaitu pada Cognizant Classic 2013.

Situasi tersebut menimbulkan kebimbangan menjelang dua kejohanan besar yang bakal disertainya, termasuk The Players Championship minggu depan di TPC Sawgrass serta usaha mempertahankan gelaran di The Masters bulan depan.

Ini bukan kali pertama McIlroy berdepan masalah belakang apabila pada 2023, beliau turut mengalami kekejangan di bahagian belakang kanan bawah menjelang Tour Championship, namun masih mampu meneruskan saingan ketika itu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN