AUSTIN: Pelumba Sepanyol, Jorge Martin mencipta sensasi apabila merampas kedudukan pendahulu kejuaraan dunia MotoGP selepas memenangi perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) di Litar Americas (COTA), awal pagi tadi.
Pelumba Aprilia Racing itu mempamerkan aksi luar biasa apabila bangkit dari petak ketujuh sebelum memintas Francesco Bagnaia di selekoh terakhir untuk meraih kemenangan dramatik.
Kemenangan tersebut membolehkan Martin mendahului kedudukan keseluruhan pelumba dengan kelebihan satu mata menjelang perlumbaan utama, sekali gus mengubah landskap awal musim kejuaraan dunia.
Perlumbaan itu turut menyaksikan beberapa insiden dramatik termasuk kemalangan melibatkan Marco Bezzecchi yang ketika itu berada di tempat kedua serta juara dunia, Marc Marquez yang turut tersingkir bersama Fabio Di Giannantonio.
“Saya sangat gembira kerana ini kali pertama saya menang di sini dalam MotoGP dan ia sesuatu yang menakjubkan.
“Ia agak berisiko memilih tayar medium, tetapi ia berbaloi dan kemenangan ini sangat bermakna buat saya serta pasukan yang melakukan kerja hebat,” kata Martin.
Bagnaia yang mendominasi sebahagian besar perlumbaan terpaksa akur apabila gagal mempertahankan kedudukan di penghujung saingan selepas diasak hebat oleh Martin.
Sementara itu, Bezzecchi yang sebelum ini mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan 11 mata gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit kemalangan ketika berada dalam kelompok hadapan.
Pelumba muda Sepanyol, Pedro Acosta pula memanfaatkan situasi untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga tanpa sebarang insiden. – AGENSI











