NEW YORK: Bekas Presiden Venezuela yang digulingkan, Nicolas Maduro, dijadualkan hadir di mahkamah New York pada Khamis buat kali kedua sejak ditahan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dalam satu serbuan yang mengejutkan.
Maduro, 63, bersama isterinya, Cilia Flores, ditahan di sebuah penjara di Brooklyn selama hampir tiga bulan selepas komando AS melancarkan operasi khas di kediaman mereka di Caracas pada awal Januari lalu.
Operasi nekad tersebut menamatkan kepimpinan tokoh yang menerajui Venezuela sejak 2013 itu, sekali gus memaksa negara kaya minyak tersebut tunduk kepada pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Maduro sebelum ini mengisytiharkan dirinya sebagai tahanan perang dan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, termasuk konspirasi narko-keganasan, konspirasi pengimportan kokain, serta pemilikan senjata mesingan dan peranti pemusnah.
Perbicaraan yang dijadualkan pada jam 11 pagi waktu tempatan itu dijangka menyaksikan pihak pembelaan mendesak agar kes tersebut digugurkan.
Isu utama yang menjadi pertikaian adalah mengenai pihak yang akan membiayai kos guaman bekas pemimpin tersebut.
Walaupun kerajaan Venezuela berhasrat untuk menanggung kos berkenaan, sekatan ekonomi yang dikenakan Washington menyukarkan proses tersebut.
Peguamnya, Barry Pollack, menegaskan beliau memerlukan lesen khas daripada pihak berkuasa AS untuk menerima bayaran, namun lesen tersebut masih belum dikeluarkan.
Pollack berhujah dalam penyerahan mahkamah syarat lesen tersebut melanggar hak perlembagaan Maduro untuk mendapatkan perwakilan undang-undang yang sah.
Maduro kini ditempatkan di Pusat Tahanan Metropolitan Brooklyn, sebuah penjara persekutuan yang sering dikritik kerana keadaan premis yang tidak bersih.
Beliau dilaporkan ditempatkan di dalam sel secara bersendirian tanpa sebarang akses kepada internet atau bahan bacaan akhbar.
Menurut sumber yang rapat dengan kerajaan Venezuela, Maduro meluangkan masanya dengan membaca kitab Injil dan dilaporkan masih dipanggil dengan gelaran ‘Presiden’ oleh beberapa rakan tahanan yang lain di dalam kompleks tersebut. -AGENSI











