Liverpool bangkit benam Galatasaray 4-0, mara suku akhir

Liverpool bangkit benam Galatasaray 4-0, mara suku akhir

CABARAN lebih besar menanti Liverpool apabila bakal berdepan PSG di suku akhir yang sebelum ini menyingkirkan Chelsea dengan agregat besar.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Liverpool menampilkan kebangkitan bergaya untuk menghidupkan semula musim mereka apabila membelasah Galatasaray 4-0 di Anfield, sekali gus mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Arne Slot memadam defisit 0-1 pada aksi pertama sebelum menang agregat 4-1, sekali gus mengatur pertemuan getir menentang juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG).

Dominik Szoboszlai membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi gerakan sepakan sudut yang dirancang rapi, sebelum Liverpool menggandakan asakan pada separuh masa kedua.

Hugo Ekitike menambah gol kedua hasil bantuan Mohamed Salah, diikuti jaringan Ryan Gravenberch yang pantas menyambar bola muntah untuk melebarkan kedudukan.

Salah kemudian melengkapkan malam gemilang Liverpool apabila meledak gol keempat yang juga jaringan ke-50 peribadinya dalam saingan UCL  menerusi rembatan menarik hasil lorongan belakang tumit Florian Wirtz.

Kemenangan besar ini hadir tepat pada masanya buat Slot yang sebelum ini berada di bawah tekanan susulan prestasi hambar dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk keputusan seri 1-1 menentang Tottenham Hotspur yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.

Menghuni tangga kelima liga domestik ketika ini, saingan Eropah dilihat sebagai peluang terbaik Liverpool untuk menyelamatkan musim, malah mungkin menentukan masa depan pengendali dari Belanda itu.

Galatasaray pula kehilangan sengat seawal babak pertama apabila penyerang utamanya, Victor Osimhen mengalami kecederaan lengan selepas bertembung dengan Ibrahima Konate.

Walaupun cuba meneruskan permainan, Osimhen akhirnya digantikan pada separuh masa kedua ketika pasukannya sudah mula hilang momentum.

Pelawat turut berpeluang mencipta jaringan, namun ketumpulan di hadapan gol selain aksi cemerlang benteng Liverpool menggagalkan usaha mereka untuk bangkit.

Salah sebelum itu turut terlepas peluang keemasan apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas Szoboszlai dijatuhkan dalam kotak penalti, namun bintang Mesir itu menebus kehampaan dengan aksi cemerlang pada babak kedua.

Liverpool hampir menambah jaringan, namun percubaan Salah sekadar menggegar palang sebelum beliau meminta untuk dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga akibat kebimbangan kecederaan.

Cabaran lebih besar menanti Liverpool apabila bakal berdepan PSG di suku akhir yang sebelum ini menyingkirkan Chelsea dengan agregat besar.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN