BANGKOK: Polis Thailand menahan seorang warga Myanmar yang dituduh cuba menyeludup 120 liter diesel keluar dari Thailand, beberapa hari selepas negara itu mengharamkan eksport bahan api susulan perang di Asia Barat.
Polis di wilayah Kanchanaburi menahan lelaki berusia 25 tahun lewat Isnin, kira-kira 30 meter dari sempadan dengan Myanmar, ketika dia mengangkut empat bekas berisi 30 liter diesel dalam kereta sorong sebuah motosikal.
Dia didakwa mengeksport barangan tanpa melalui prosedur kastam serta memasuki Thailand secara haram.
Pegawai mengarahkan lelaki terbabit menghentikan kenderaannya kira-kira pukul 11 malam dan mendapati tiada dokumen pengenalan diri serta membawa bekas dipenuhi bahan api.
“Ketika disoal siasat, individu itu menyatakan diesel berkenaan bertujuan untuk dibawa ke Myanmar,” kata polis dalam kenyataan semalam.
Jumlah bahan api itu bersamaan kira-kira satu tangki penuh bagi sebuah trak pikap bersaiz besar.
Perang di Asia Barat yang tercetus susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu menyebabkan gangguan kepada bekalan minyak dan gas serta mengakibatkan ketidaktentuan harga kepada negara Asia yang banyak bergantung dengan eksport dari Teluk.
Minggu lalu, Thailand mengumumkan menggantung eksport bahan api bagi mengekalkan bekalan dalam negara.- AFP










