NEW DELHI: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut dilanggar kereta api ketika mengejar suspek yang didakwa meragut telefon bimbitnya di timur laut New Delhi, India, petang kelmarin.
Kejadian dilaporkan di balai polis Stesen Kereta Api Lama Delhi sekitar pukul 4.55 petang waktu tempatan, selepas bilik kawalan Pasukan Perlindungan Kereta Api (RPF) melaporkan seorang lelaki dilanggar di platform 3 stesen berkenaan.
Mangsa dikenal pasti sebagai Rohit Kumar, 22, dari daerah Baghpat di Uttar Pradesh.
Pasukan polis bersama unit jenayah dan Makmal Sains Forensik (FSL) dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati mangsa tidak menyedari ketibaan kereta api Ekspres Delhi-Kathgodam 15035 ketika mengejar suspek yang didakwa meragut telefon bimbitnya.
Polis berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen itu sedang diperiksa bagi mengenal pasti suspek yang didakwa meragut telefon mangsa dan usaha mengesannya kini giat dijalankan.
Menurut pihak berkuasa, satu kes ragut didaftarkan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang diteruskan.- AGENSI










