COLOMBO: Seorang lelaki dihukum penjara selama tiga minggu selepas mengaku menyorok empat liter petrol ketika Sri Lanka berdepan krisis bekalan bahan api akibat perang Asia Barat.
Lelaki berusia 48 tahun itu pada awalnya mendakwa petrol berkenaan untuk kegunaan mesin pemotong rumput.
Seorang majistret di Nikaweratiya, kira-kira 125 kilometer (km) di timur laut Colombo, turut mengenakan denda sebanyak 1,500 rupee (RM19), lapor media tempatan.
Menurut laporan itu, lelaki terbabit didakwa kerana menyorok petrol dan cuba menjualnya di pasaran gelap, ketika pihak berkuasa melaksanakan catuan bahan api.
Ketika ini, pemandu di pulau Asia Selatan itu hanya dibenarkan mendapatkan bahan api selang sehari.
Pihak berkuasa memaklumkan stok diesel sedia ada dijangka mencukupi sehingga pertengahan Mei, manakala bekalan petrol mungkin bertahan kira-kira seminggu lagi.
Harga bahan api di Sri Lanka meningkat kira-kira satu pertiga sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, sekali gus mencetuskan gangguan bekalan global.
Pejabat Presiden Anura Kumara Dissanayake memaklumkan, beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri Tenaga Russia, Roman Marshavin, bagi mendapatkan bekalan minyak.
Dalam kenyataan itu, pegawai Russia berkenaan mendakwa bersedia membantu Sri Lanka menghadapi sebarang cabaran akibat konflik Asia Barat.- AFP











