PETALING JAYA: Skuad hoki wanita negara menamatkan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 di Santiago, Chile di kedudukan keenam selepas tewas 0-3 kepada Perancis dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam, malam tadi.
Perancis membuka jaringan seawal minit pertama menerusi gol padang Emma van der Zanden yang mengejutkan Speedy Tigress sebaik wisel permulaan ditiup.
Pasukan Eropah itu menggandakan kelebihan pada minit ke-37 melalui jaringan Mazarine Proux untuk menjarakkan kedudukan 2-0.
Emma van der Zanden kemudian melengkapkan kemenangan Perancis apabila menjaringkan gol keduanya pada minit ke-57 bagi memastikan Malaysia menamatkan kejohanan di tempat keenam.
Sebelum itu, skuad negara mencipta sejarah apabila mencatat kemenangan pertama ke atas Switzerland selepas menewaskan pasukan ranking ke-39 dunia itu 3-1 di Santiago, Sabtu lalu.
Kemenangan tersebut memberi suntikan moral kepada Speedy Tigress selepas melalui saingan mencabar sepanjang kempen kelayakan.
Bagaimanapun, impian Malaysia untuk melayakkan diri buat kali pertama ke Piala Dunia Wanita tidak kesampaian selepas dibelasah Jepun 4-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Santiago, Khamis lalu.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dengan tiga mata hasil satu kemenangan dan dua kekalahan. – UTUSAN










