MANILA: Filipina dilaporkan menjadi negara pertama di dunia yang mengisytiharkan darurat tenaga kebangsaan sebagai tindak balas terhadap gangguan bekalan global yang semakin meruncing akibat konflik di Asia Barat.
Presiden, Ferdinand Marcos Jr. menandatangani perintah eksekutif bagi mengisytiharkan darurat tersebut secara rasmi.
Langkah itu sekali gus mengaktifkan tindak balas bersepadu di peringkat nasional bagi menstabilkan bekalan tenaga serta melindungi ekonomi negara daripada lonjakan kos bahan api.
Sebagai sebahagian daripada langkah kecemasan tersebut, kerajaan Filipina memperkenalkan kerangka sokongan menyeluruh yang dikenali sebagai Pakej Bersepadu untuk Mata Pencarian, Industri, Makanan dan Pengangkutan (UPLIFT).
Inisiatif ini dirangka khusus untuk membantu sektor-sektor kritikal seperti pengangkutan, pertanian serta Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS).
Pegawai kerajaan memaklumkan bahawa pengisytiharan ini membolehkan pendekatan seluruh kerajaan dilaksanakan.
Ia memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menggerakkan sumber dengan lebih berkesan, menguruskan pengagihan bahan api, serta melaksanakan program bantuan bersasar kepada komuniti yang terjejas.
Filipina sangat bergantung kepada sumber luar dengan hampir 26 peratus bekalan tenaganya diimport dari Asia Barat, melibatkan kos keseluruhan mencecah AS$16 bilion (RM63.76 bilion) pada tahun 2024.
Ketegangan di rantau berkenaan semakin memuncak sejak serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu. Konflik tersebut dilaporkan telah mengorbankan lebih 1,340 nyawa, termasuk Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Iran telah melancarkan serangan dron dan peluru berpandu berulang kali ke arah Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.
Situasi menjadi lebih kritikal apabila Teheran kini menguasai Selat Hormuz, laluan pengangkutan minyak global yang paling penting bagi bekalan tenaga ke kebanyakan negara Asia.
Harga minyak global melonjak mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas perang mencetuskan penutupan Selat Hormuz, laluan penting untuk penghantaran minyak.
Selat itu mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak mentah dunia, iaitu sekitar 20 juta tong sehari.- ANADOLU











