Kim terus dominasi jelajah LPGA

Kim terus dominasi jelajah LPGA

HYO Joo Kim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHANDLER, Arizona: Pemain Korea Selatan, Hyo Joo Kim terus membuktikan kelas tersendiri apabila merangkul kejuaraan minggu kedua berturut-turut dalam Jelajah LPGA. 

Kemenangan itu sekali gus menewaskan pencabar utama, Nelly Korda buat kali kedua berturut-turut.

Juara bertahan itu menutup saingan Kejohanan Ford LPGA dengan pusingan akhir tiga bawah par 69 untuk keseluruhan 28 bawah par 260, sekali gus mempertahankan gelaran di Padang Cattail, Kelab Golf Whirlwind.

Kim yang berusia 30 tahun tampil konsisten sepanjang empat hari saingan dengan gabungan pukulan 61 dan 69, meskipun berdepan detik cemas termasuk bogey berganda di lubang kelapan serta bogey di lubang ke-16.

Namun, ketenangannya jelas menjadi pemisah apabila mencatat tiga birdie di setiap sembilan lubang, sekali gus memastikan kejuaraan kekal dalam genggaman.

“Bukan mudah untuk mempertahankan gelaran, tetapi saya membawa momentum positif dari minggu lalu dan mahu mengekalkannya,” kata Kim.

Lebih manis, kemenangan itu hadir selepas beliau turut menewaskan Korda di Piala Founders Fortinet minggu lalu, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pemain paling ‘panas’ ketika ini.

Korda yang berada di ranking No. 2 dunia memberikan tentangan sengit apabila mencatat dua eagle dalam pusingan 67, termasuk di lubang ke-17 sebelum menambah birdie di lubang terakhir.

Bagaimanapun, usaha pemain Amerika Syarikat itu tidak cukup untuk menafikan keunggulan Kim yang tenang melakukan par di lubang ke-18 bagi memastikan kemenangan dengan kelebihan dua pukulan.

Sementara itu, pemain Jepun, Minami Katsu menduduki tempat ketiga (23 bawah par), diikuti Lydia Ko di tangga keempat (20 bawah par).

Seorang lagi pemain Korea Selatan, Chun In-gee melengkapkan kelompok lima terbaik dengan catatan 19 bawah par.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN