Justin, Ling Ching mara ke pusingan kedua Orleans Masters

Justin, Ling Ching mara ke pusingan kedua Orleans Masters

JUSTIN Hoh - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perseorangan lelaki No. 2 negara, Justin Hoh meneruskan kemaraan ke peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Orleans Masters di Orleans, Perancis, malam tadi (waktu Malaysia).

Pemain ke-38 dunia itu mengejutkan Chi Yu Jen dari Taiwan yang menghuni ranking No. 20 dunia 21-9, 14-21, 24-22 dalam masa 1 jam 1 minit.

Kejayaan tersebut membolehkan Justin kini mendahului Yu Jen dengan rekod pertemuan 2-1.

Pada peringkat 16 terbaik, hari ini, pemain berusia 21 tahun itu bakal berdepan seorang lagi wakil Taiwan yang berada di ranking ke-49 dunia, Su Li Yang.

Turut mengikut jejak langkah Justin, wakil perseorangan wanita, Wong Ling Ching yang mengetepikan Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat 21-19, 13-21, 23-21 dalam masa 53 minit.

Ling Ching yang menghuni ranking ke-37 dunia itu kini mengatasi Beiwen yang merupakan pemain No. 25 dunia dengan rekod pertemuan 1-0.

Wakil India, Malvika Bansod yang berada di kedudukan ke-56 dunia menanti Ling Ching di peringkat 16 terbaik.

Sementara itu, nasib berbeza dialami seorang lagi perseorangan wanita negara, K. Letshanaa apabila dia tumpas kepada Pai Yu Po dari Taiwan 21-15, 16-21, 9-21 dalam masa 53 minit.

Turut kecundang, beregu campuran Malaysia, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang tewas di tangan wakil Jepun, Akira Koga-Natsu Saito 17-21, 4-21 dalam masa 27 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN