BEIJING: Pelumba Ferrrari, Charles Leclerc mengakui wujud kekeliruan dalam kem Scuderia Ferrari selepas pasukan itu secara mengejut mampu memberi tekanan awal kepada Mercedes-AMG Petronas Formula One Team dalam dua aksi pembukaan musim.
Dalam nada jujur, pemandu Monaco itu mendedahkan prestasi kompetitif Ferrari di Grand Prix(GP) Australia dan perlumbaan pecut GP China sebenarnya tidak selari dengan jangkaan awal pasukan.
“Selepas ujian, kami rasa ada sesuatu yang tidak kena. Jadi apabila kami begitu rapat di Australia dan dalam perlumbaan pecut, ia agak mengelirukan,” kata Leclerc.
Namun, realiti sebenar mula terserlah apabila Lewis Hamilton kembali mendominasi, disokong rakan sepasukan George Russell dan pendatang baharu Kimi Antonelli yang pantas menguasai dua kedudukan teratas, termasuk selepas fasa Kereta Keselamatan.
Leclerc mengakui jurang sebenar kini semakin jelas, dengan Mercedes dipercayai memiliki kelebihan sehingga setengah saat dalam trim perlumbaan.
“Sekarang ia lebih sejajar dengan jangkaan. Tetapi itu tidak bermakna kami tidak boleh memberi tekanan. Dengan persaingan rapat, apa sahaja boleh berlaku,” ujarnya.
Aksi seterusnya bakal beralih ke GP Jepun di Suzuka selepas rehat seminggu, sebelum kalendar Formula Satu(F1) 2026 mengalami gangguan besar susulan pembatalan dua perlumbaan Timur Tengah.
Ferrari bagaimanapun tidak berdiam diri apabila Leclerc memberi bayangan bahawa beberapa penambahbaikan sedang dirancang, namun keberkesanannya untuk merapatkan jurang dengan Mercedes masih menjadi tanda tanya.
“Ada sesuatu sedang dirancang, tetapi sejauh mana ia mampu mengubah keadaan, saya sendiri belum pasti,” katanya.-AGENSI










