Jin Wei tamatkan kemarau gelaran lapan tahun di Singapura

Jin Wei tamatkan kemarau gelaran lapan tahun di Singapura

GOH Jin Wei bersama hadiah yang dimenanginya pada Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Singapura di Singapura, semalam. - INSTAGRAM GOH JIN WEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei akhirnya merangkul gelaran pertama dalam tempoh lapan tahun selepas menjuarai Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Singapura 2026 di Singapura, hari ini.

Jin Wei yang kini menghuni ranking No. 55 dunia menewaskan pemain ke-100 dunia, Komang Ayu Cahya Dewi dari Indonesia 21-11, 21-11 dalam masa 30 minit pada perlawanan akhir.

Kemenangan tersebut menyaksikan Jin Wei kini memegang rekod pertemuan dengan Komang Ayu 2-0 selepas dia turut mengalahkan pemain itu di peringkat 16 terbaik pada Terbuka Taiwan, empat tahun lalu.

Kejayaan yang diukir anak jati Pulau Pinang itu membolehkan dia membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$2,400 (RM9,339) beserta pingat emas.

Jin Wei dalam perkongsiannya di media sosial berkata, sudah terlalu lama dia tidak memenangi sebarang gelaran.

“Ia satu tempoh yang cukup lama, bergelar juara selepas lapan tahun berlalu. Terima kasih kepada penaja yang tidak pernah berputus asa dengan saya. Mengejar impian yang akhirnya tercapai, masih adakah keajaiban lagi?,” katanya di sini, hari ini.

Kali terakhir Jin Wei merangkul gelaran di peringkat senior adalah sewaktu dia memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur ketika berusia 17 tahun.

Sejak pencapaiannya pada temasya tersebut, Jin Wei hanya mengukir kejayaan dalam kejohanan di peringkat remaja selepas memenangi pingat emas pada Olimpik Remaja di Buenos Aires dan menjulang gelaran remaja dunia buat kali kedua di Markham, Kanada pada 2018.

Bulan lalu, pemain berusia 26 tahun itu hampir sahaja memecah kebuntuan gelaran, tetapi, disebabkan isu kesihatan yang membelenggu Jin Wei, pemain tersebut sekadar muncul naib juara pada Thailand Masters.

Jin Wei gagal menamatkan permainannya pada perlawanan akhir tersebut sehingga memaksanya memberikan kemenangan percuma kepada wakil India, Devika Sihag.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN