TOKYO: Iran bersedia untuk membenarkan kapal-kapal berkaitan Jepun melalui Selat Hormuz, laluan penting bagi bekalan minyak global, lapor Kyodo News yang memetik Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.
Teheran memulakan rundingan dengan Tokyo mengenai kemungkinan membuka semula selat itu, kata Araghchi dalam temu bual telefon dengan agensi berita Jepun itu semalam.
Kementerian Luar dan Perdagangan Jepun serta Pejabat Perdana Menteri tidak memberi maklumat balas mengenai laporan tersebut.
Jepun memperoleh kira-kira 90 peratus bekalan minyak melalui selatan berkenaan, yang sebahagian besarnya ditutup oleh Teheran sepanjang perang Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran.
Lonjakan harga minyak global akibat konflik yang memasuki minggu keempat pada Sabtu, mendorong Jepun dan negara lain melepaskan rizab minyak mereka.
Presiden AS, Donald Trump, bertemu Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi pada Khamis dan menggesa beliau untuk meningkatkan usaha ketika Washington terus menekan sekutu untuk menghantar kapal perang bagi membantu membuka semula selat itu.
Takaichi berkata kepada pemberita selepas sidang kemuncak di Washington beliau memberi taklimat kepada Trump, mengenai bentuk sokongan yang boleh dan tidak boleh diberikan Jepun di Selat Hormuz berdasarkan undang-undangnya.
Tindakan Jepun adalah terhad di bawah perlembagaan pascaperang yang berteraskan prinsip aman, namun undang-undang keselamatan 2015 membenarkan negara itu menggunakan kekuatan di luar negara jika berlaku serangan, termasuk terhadap rakan keselamatan rapat, yang mengancam kelangsungan Jepun dan tiada pilihan lain untuk menanganinya.










