Iran lancar perang propaganda melalui animasi

Iran lancar perang propaganda melalui animasi

VIDEO animasi berdurasi dua minit meraih puluhan ribu tanda suka dan perkongsian sebaik dikongsi di platform milik Meta dan X.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Tidak hanya membalas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan peluru berpandu serta dron, Iran juga menggerakkan perang propaganda melalui video animasi ala Lego, lengkap dengan versi mainan Donald Trump, bom dan pesawat perang.

Institut Revayat-e Fath yang dikendalikan kerajaan Iran menyiarkan video tersebut di televisyen negara selepas serangan AS-Israel pada 28 Februari yang mengorbankan pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei, dan mencetuskan perang di Asia Barat.

Video berdurasi dua minit itu meraih puluhan ribu tanda suka dan perkongsian sebaik dikongsi di platform milik Meta dan X.

Tanpa sebarang dialog, video tersebut kelihatan direka untuk capaian antarabangsa dalam perang yang menggegarkan pasaran tenaga dan saham serta memecahbelahkan pendapat awam dunia.

Video itu bermula dengan gambaran seperti Lego Trump, diapit oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sedang melihat album bertajuk ‘Fail Epstein’.

Trump kemudiannya menekan butang merah untuk memulakan perang dan melancarkan peluru berpandu melalui awan yang terkena kawasan seperti bilik darjah, dengan mainan mewakili murid perempuan berhijab merah jambu.

Dengan latar muzik berunsur nasionalisme, video itu kemudian menunjukkan Pengawal Revolusi Iran membalas dendam dengan menyerang kepentingan AS dan Israel di seluruh rantau berkenaan.

Video tersebut berakhir dengan mesej ia dihasilkan sebagai memperingati pelajar yang terkorban dalam serangan tersebut.

Iran sebelum ini menuduh AS dan Israel bertanggungjawab melakukan serangan maut ke atas sebuah sekolah di Minab, selatan negara itu, pada hari pertama perang.

Menurut AFP, pihaknya tidak dapat mengakses lokasi tersebut untuk mengesahkan kejadian atau mendapatkan pengesahan bebas mengenai jumlah korban.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN