Iran giat balas serangan selepas Trump dakwa wujud rundingan

Iran giat balas serangan selepas Trump dakwa wujud rundingan

SEBUAH peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran kelihatan di langit di kem pelarian Bureij di tengah Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran melancarkan serangan peluru berpandu baharu merentasi rantau Asia Barat pada Rabu, selepas isyarat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menunjukkan kesediaannya untuk berunding dengan Teheran menstabilkan pasaran global.

Harga minyak jatuh mendadak manakala pasaran saham Asia meningkat, berikutan pengurangan ketegangan selepas hampir empat minggu perang, ketika Trump dilihat meningkatkan usaha untuk menamatkan operasi ketenteraan bersama dengan Israel.

Trump mendakwa, Washington sedang ‘berunding’ dengan Teheran.

“Mereka melakukan sesuatu semalam yang sebenarnya menakjubkan. Mereka memberikan kami hadiah dan hadiah itu tiba hari ini. Ia adalah hadiah yang sangat besar dan bernilai sejumlah besar wang.

“Itu bermakna satu perkara bagi saya, kita berurusan dengan orang yang tepat,” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval.

Pegawai Iran masih belum mengesahkan sebarang rundingan rasmi.

Sementara Trump memberi isyarat rundingan sulit, Pengawal Revolusi Iran melancarkan gelombang peluru berpandu baharu pada Rabu ke arah Israel serta pangkalan yang menempatkan anggota tentera AS di Kuwait, Jordan dan Bahrain.

Republik Islam itu terus mengekalkan serangan balas terhadap Israel dan negara Teluk yang dituduhnya menjadi pangkalan pelancaran serangan AS.

Di Kuwait, dron menyerang sebuah tangki bahan api dan mencetuskan kebakaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, dengan pihak berkuasa penerbangan awam melaporkan kerosakan ‘terhad’.

Di Bahrain, kementerian dalam negeri mengaktifkan siren serangan udara, manakala pengarah keselamatan awam Jordan melaporkan serpihan peluru berpandu jatuh berhampiran ibu negara Amman, tanpa menyebabkan kematian atau kerosakan.

Arab Saudi pula berkata, sekurang-kurangnya empat dron berjaya dipintas di timur negara itu.

Israel mengumumkan serangan baharu terhadap infrastruktur Iran selepas Teheran melancarkan peluru berpandu baharu ke negara itu.

Iran pada Selasa menuduh Israel menyerang loji nuklear Bushehr buat kali kedua, sebuah kemudahan awam.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN