Iran benarkan dua kapal LPG India lalu Selat Hormuz

Iran benarkan dua kapal LPG India lalu Selat Hormuz

GAMBAR fail menunjukkan beberapa bot bergerak di sekitar kapal tangki semasa latihan ketenteraan oleh Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di Selat Hormuz.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran membenarkan dua kapal pengangkut gas petroleum cecair (LPG) berbendera India melalui Selat Hormuz, satu pengecualian yang jarang berlaku di tengah sekatan Teheran terhadap laluan minyak dunia.

Empat sumber yang mengetahui perkara itu berkata, kapal tangki LPG, Shivalik, melalui selat berkenaan dengan pengiring Tentera Laut India, manakala sebuah lagi kapal, Nanda Devi, dijangka melepasi laluan tersebut dalam tempoh beberapa jam.

Teheran turut mengesahkan perkara tersebut kelmarin.

Sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan kempen pengeboman ke atas Iran, Teheran menghentikan sebahagian besar lalu lintas di selat itu, yang biasanya membekalkan kira-kira 20 peratus minyak global dan gas asli cecair melalui laut.

Iran menegaskan tidak akan membenarkan sebarang bekalan untuk AS atau sekutunya keluar melalui selat itu, namun India memohon pengecualian.

Khamis lalu, Perdana Menteri India, Narendra Modi memaklumkan bercakap dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, dan membincangkan mengenai transit barangan serta tenaga dari Teluk.

India turut memberikan perlindungan selamat kepada 183 kelasi Iran dari sebuah kapal yang berlabuh selepas perang tercetus.

Kapal itu antara tiga kapal yang menyertai latihan di India, dengan satu daripadanya tenggelam akibat torpedo AS di perairan Sri Lanka.

India kini berdepan krisis gas terburuk dalam beberapa dekad, dengan kerajaan mengurangkan bekalan untuk industri bagi melindungi isi rumah daripada kekurangan gas memasak.

Kapal Shivalik dan Nanda Devi dimiliki oleh syarikat milik kerajaan, Shipping Corp of India.

Shivalik, yang tiba di perairan Qatar pada 25 Februari, kali terakhir dilaporkan berada dalam zon ekonomi eksklusif sehingga 24 batu dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), menurut data pengesanan di MarineTraffic.

Manakala, Nanda Devi pula kali terakhir dikesan pada Jumaat di perairan Iran berhampiran pintu masuk Selat Hormuz. Kapal itu sebelum ini berlabuh di Ras Laffan di Qatar pada 27 Februari sebelum belayar ke perairan UAE.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN