Indonesia sekat media sosial pengguna bawah umur mulai 28 Mac

Indonesia sekat media sosial pengguna bawah umur mulai 28 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia mengumumkan larangan akses media sosial untuk pengguna bawah 16 tahun, dengan alasan ancaman pornografi dalam talian, buli siber, penipuan dan ketagihan internet.

Menteri Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, Meutya Hafid berkata, akaun milik kanak-kanak bawah 16 tahun di platform berisiko tinggi akan mula dinyahaktifkan.

Platform yang terlibat termasuk YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, Threads, X, Bigo Live dan Roblox.

“Kerajaan sedang campur tangan supaya ibu bapa tidak lagi perlu berjuang sendirian berdepan gergasi algoritma tersebut. Pelaksanaan akan bermula pada 28 Mac 2026,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Larangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga semua platform memenuhi kewajiban pematuhan masing-masing.

TikTok dan Google Indonesia tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk mengulas.

Sementara itu, satu kumpulan pakar Kesatuan Eropah (EU) minggu ini memulakan usaha ke arah larangan media sosial yang serupa bagi kanak-kanak, selepas Australia pada Disember lalu mewajibkan TikTok, YouTube, Snapchat dan laman lain memadam akaun milik pengguna di bawah umur 16 tahun.

Brussels memantau rapat keberkesanan larangan yang dilaksanakan Australia itu, ketika cabaran undang-undang terhadap langkah berkenaan sudah difailkan.

Perancis bersama Denmark, Greece dan Sepanyol turut mendesak tindakan sama dilaksanakan di peringkat EU, manakala India juga sedang mempertimbangkan larangan media sosial untuk remaja.

Meutya berkata, kerajaan memahami peraturan baharu itu mungkin menimbulkan sedikit kesulitan pada peringkat awal kepada pengguna di Indonesia, namun menegaskan langkah berkenaan perlu diambil.

“Kami percaya ini adalah langkah terbaik yang perlu diambil kerajaan ketika berdepan kecemasan digital.

“Kami mengambil langkah ini untuk mengembalikan kedaulatan masa depan anak-anak kita. Kami mahu teknologi memanusiakan manusia, bukan mengorbankan zaman kanak-kanak mereka,” katanya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN