JAKARTA: Indonesia kini sedang mengadakan rundingan dengan Iran untuk memastikan kapal‑kapal tangki Indonesia boleh melalui Selat Hormuz dengan selamat, menurut jurucakap Kementerian Luar Negeri.
Susulan permintaan itu, Teheran telah memberikan respon yang positif terhadap usaha diplomatik Jakarta.
Jurucakap Kementerian Luar Indonesia berkata bahawa kedutaan Iran di Jakarta telah menyampaikan bahawa kerajaan Iran mempertimbangkan secara positif permintaan Indonesia untuk memastikan kapal‑kapal milik Pertamina Group boleh melintasi Selat Hormuz dengan selamat.
Beliau menyampaikan kenyataan itu kepada AFP semasa menjelaskan dialog diplomatik yang sedang berlangsung antara Indonesia dan pihak berkuasa Iran berhubung keselamatan transit kapal‑kapal tangki Indonesia melalui laluan strategik tersebut.
Jurucakap Kementerian Luar, Vahd Nabyl Achmad Mulachela berkata, kerajaan Indonesia dan kedutaannya di Teheran telah mengadakan rundingan dengan kedutaan Iran di Jakarta.
Rundingan itu diadakan di ibu negara Iran, yang memberi respons positif untuk membolehkan kapal‑kapal tersebut melintasi Selat Hormuz dengan selamat, katanya.
Setakat ini, kapal tangki Indonesia, Pertamina Pride dan Gamsunoro, yang dimiliki oleh anak syarikat syarikat tenaga negara, Pertamina, masih berada di Teluk.
Serangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran serta tindak balas Teheran di kawasan Teluk telah menyebabkan gangguan besar kepada laluan perkapalan global, termasuk di Selat Hormuz yang merupakan salah satu laluan minyak paling penting di dunia.
Konflik itu yang bermula sejak 28 Februari lalu telah menyebabkan harga minyak global meningkat, manakala Iran terus mengekalkan kawalan ke atas laluan penting tersebut, menjadikannya sukar bagi kapal komersial untuk melintas tanpa jaminan keselamatan.
Selat Hormuz ialah laluan sempit antara Teluk Parsi dan Laut Oman yang menyumbang sehingga hampir 20 peratus aliran minyak dan gas global, menjadikannya sangat strategik serta sensitif semasa konflik serantau.
Iran pada masa ini mengekalkan kawalan ketat ke atas laluan tersebut susulan serangan dan serang balas antara Teheran, AS dan Israel, menyebabkan sebahagian besar kapal enggan melalui laluan itu tanpa jaminan keselamatan. – AGENSI/AFP











