PETALING JAYA: Harimau Malaya terus menerima tamparan hebat apabila ranking dunia pasukan itu merudum susulan tindakan tegas badan bola sepak antarabangsa.
Kemaskini terkini Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan Malaysia jatuh 14 anak tangga sekali gus kini menghuni kedudukan ke-135 dunia.
Kejatuhan itu berpunca daripada hukuman FIFA berhubung isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan tidak sah.
FIFA bertindak membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin.
Dalam keputusan tersebut, kemenangan 3-0 diberikan kepada semua pasukan lawan sekali gus menjejaskan pungutan mata ranking negara.
Situasi bertambah buruk apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) turut mengambil tindakan terhadap dua aksi Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam dan Nepal.
Malaysia dikenakan kekalahan 0-3 bagi kedua-dua perlawanan tersebut, sekali gus merencatkan lagi kedudukan dalam carta dunia.
Hukuman itu turut mengesahkan kegagalan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2027.
Secara keseluruhan, skuad negara kini kehilangan 19 anak tangga dalam ranking FIFA akibat isu berkenaan. – UTUSAN











