Hakim Danish kemalangan, mula di tangga corot

Hakim Danish kemalangan, mula di tangga corot

HAKIM Danish.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nasib tidak menyebelahi pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli yang terpaksa memulakan perlumbaan pada Grand Prix Motosikal Amerika Syarikat (AS) di kedudukan tercorot selepas terbabit dalam kemalangan sewaktu sesi kelayakan 1 (Q1) di Litar COTA, Austin, Texas, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Pelumba yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu gagal melakar sebarang masa pada sesi tersebut selepas terbabit dalam insiden kemalangan yang menyebabkan jenteranya mengalami kerosakan.

Ketika kejadian itu berlaku, tubuh Hakim Danish melambung tinggi sebelum terhempas ke permukaan trek yang mengakibatkan dia bergelut untuk bangkit sebelum dibantu pasukan perubatan.

Hakim Danish terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan dia terpaksa bermula di kedudukan corot pada perlumbaan sebenar Grand Prix Amerika Syarikat (AS) di Litar COTA, Austin, Texas, AS, esok.

Bagaimanapun, mujur pelumba berusia 18 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan yang menjejaskan peluangnya untuk beraksi pada perlumbaan sebenar dari grid ke-25, pukul 1 pagi, esok.

Hakim Danish berkata, dia berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kemalangan tersebut berlaku.

“Selepas terjatuh tadi, saya tidak mengalami apa-apa kecederaan dan saya berada dalam keadaan baik.

“Semasa kelayakan tadi saya kecewa di mana saya tak dapat catat masa sepusingan dan saya juga tak dapat pegi Q2 (kelayakan 2) kerana tersalah buat percaturan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kemalangan yang dialaminya, anak jati Terengganu itu menjelaskan, sebelum kemalangan berlaku, dia telah memasuki pit dan keluar semula ke litar bagi memulakan sesi Q1.

“Tetapi saya rasa saya tunggu terlampau lama dan tayar saya masih sejuk sewaktu minit terakhir saya keluar ke litar.

“Saya terlalu memaksa jentera yang dipacu dan tayar pula tak cukup panas sehingga menyebabkan motosikal terbabas,” katanya.

Bagaimanapun, Hakim Danish berkata, tiada istilah berputus ada buatnya dan walaupun terpaksa bermula di kedudukan terakhir, fokus akan dihalakannya ke perlumbaan, esok serta cuba memberikan sehabis baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN