MANCHESTER: Bos Manchester City, Pep Guardiola menegaskan fokus pasukannya kini hanya terarah kepada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham United walaupun mereka berdepan tugas hampir mustahil menentang Real Madrid dalam saingan Liga Juara-juara (UCL), semalam.
City yang ketinggalan 0-3 selepas aksi pertama pusingan kalah mati bakal menerima kunjungan gergasi Sepanyol itu minggu depan, namun Guardiola enggan memikirkan soal kebangkitan dramatik buat masa ini.
Sebaliknya, pengendali dari Sepanyol itu menegaskan tumpuan penuh diberikan kepada pertemuan menentang West Ham yang sedang bergelut mengelak penyingkiran dalam saingan EPL, awal pagi Ahad.
“Sekarang adalah West Ham dan perlawanan seperti ini sentiasa sukar kerana walau apa rancangan yang dibuat, kadangkala ia tidak berlaku seperti yang diharapkan.
“Perlawanan itu sendiri akan menentukan sama ada kami masih mempunyai peluang atau tidak dan memang benar situasinya sangat sukar,” kata Guardiola.
Ketika ini City berada di tangga kedua liga dengan ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Arsenal tetapi masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Guardiola bagaimanapun mengingatkan bahawa West Ham yang dibimbing Nuno Espirito Santo juga amat terdesak memburu mata bagi memastikan kelangsungan mereka di liga utama.
“Setiap perlawanan penting dan kami tidak akan berhenti berjuang sehingga penghujung musim,” kata Guardiola. – AGENSI










