KUALA LUMPUR: Ledakan Safawi Rasid pada penghujung perlawanan memastikan Kuala Lumpur (KL) City melakar kemenangan 2-1 ke atas Melaka FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Keputusan itu memastikan The City Boys terus berada dalam perebutan gelaran naib juara Liga Super sekali gus membolehkan skuad bimbingan Risto Vidakovic menghuni tangga kedua liga, dua mata mengatasi Kuching City dan tiga mata di atas Selangor FC (SFC).
Begitupun, dua pencabar itu masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Pada aksi itu, KL City mengasak dari awal permainan dan mencetuskan situasi kelam kabut dalam kotak penalti pada minit ke-15 namun percubaan Antonio Gomes mudah ditangkap penjaga gol Melaka FC, Samuel Somerville.
Somerville terus beraksi cemerlang apabila menepis percubaan Paulo Josue pada minit ke-23 sebelum Ruiz melakukan lambungan dari jarak jauh tetapi masih gagal menemui sasaran tepat untuk menewaskan Somerville.
Peluang terbaik Melaka FC hadir pada minit ke-28 menerusi Do Donghyun yang melepaskan rembatan kencang tetapi sekadar menggegar tiang KL City.
Usaha keras KL City memburu gol pembukaan akhirnya berhasil apabila rembatan Kamal Azizi Zabri berjaya menewaskan Somerville pada minit ke-40.
Melaka FC menyamakan kedudukan pada minit ke-85 menerusi tampanan Pak Kwang Il yang menyambut hantaran Che Rashid Che Halim.
Bagaimanapun, impian Melaka FC untuk membawa pulang satu mata berkecai apabila tuan rumah meledak gol kemenangan menerusi Safawi pada hujung permainan.-UTUSAN










