Gallifuoco dijangka sertai kem latihan skuad kebangsaan

Gallifuoco dijangka sertai kem latihan skuad kebangsaan

Saingan Liga Super
GIANCARLO Gallifuoco bersedia merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya dijangka menerima suntikan baharu di bahagian pertahanan apabila pertahanan import Kuala Lumpur (KL) City, Giancarlo Gallifuoco, bakal menyertai kem latihan skuad kebangsaan dalam masa terdekat.

Perkembangan itu dimaklumkan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar yang mengesahkan pemain kelahiran Australia berkenaan sudah memaklumkan kepadanya mengenai tawaran untuk mewakili negara.

“Gallifuoco ada beritahu saya mengenai tawaran untuk sertai Harimau Malaya. Itu satu perkembangan yang sangat positif bukan sahaja untuk dia, tetapi untuk bola sepak negara,” katanya.

Syed Yazid melihat peluang tersebut sebagai langkah tepat dalam usaha memperkukuhkan benteng pertahanan skuad kebangsaan yang kini dalam fasa pemantapan menjelang tugasan antarabangsa.

Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap kualiti dan profesionalisme pemain berusia 30-an itu yang dianggap memiliki pengalaman luas serta disiplin tinggi di atas padang.

“Bagi saya, dia seorang pemain yang sangat profesional dan berdisiplin. Kita tahu kualiti yang dia ada terutama di bahagian pertahanan.

“Saya yakin kehadiran dia boleh dimanfaatkan sebaik mungkin oleh barisan kejurulatihan Harimau Malaya,” ujarnya.

Jelas Syed Yazid, tempoh lama Gallifuoco menetap di ibu negara memberi kelebihan tambahan kerana pemain itu sudah menyesuaikan diri dengan budaya dan gaya hidup tempatan.

“Dia sudah lama menetap di Kuala Lumpur. Dia faham budaya, cara hidup masyarakat kita dan saya nampak dia memang sudah sebati dengan persekitaran di sini.

“Malah saya boleh katakan dia ada jiwa dan semangat negara yang kuat. Itu penting bila bercakap soal mewakili pasukan kebangsaan,” tambahnya.

Untuk rekod, bekas pemain remaja akademi Tottenham Hotspur dan Swansea City yang pernah bersaing dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) itu merupakan antara tiga pemain import yang berada dalam radar proses naturalisasi selepas lebih lima tahun menetap di Malaysia.

Selain Gallifuoco, penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva turut dijadual menyertai kem kebangsaan bulan ini sebagai persiapan menghadapi Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Hanoi pada 31 Mac.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN