Feroz, Syahmi kembali perkuat benteng Harimau Malaya

Feroz, Syahmi kembali perkuat benteng Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski membuat percaturan berani apabila menyenaraikan dua muka baharu, Muhammad Feroz Baharudin dan Muhammad Syahmi Safari bagi menghadapi aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.

Kedua-dua pemain tersebut menjadi antara tumpuan dalam senarai 28 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat bermula Isnin ini sebagai persiapan menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan F di Stadium Thien Truong, Nam Dinh pada 31 Mac ini.

Kehadiran Feroz dan Syahmi dilihat mampu menambah dimensi baharu kepada skuad kebangsaan yang kini dalam fasa pembentukan semula di bawah kendalian Cklamovski.

Dalam masa sama, pengendali kelahiran Australia itu turut memberi peluang kepada penjaga gol skuad bawah 23 tahun negara, Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa yang diserap menerusi Program Pembangunan Penjaga Gol.

Langkah itu jelas mencerminkan pendekatan jangka panjang Cklamovski dalam membina kekuatan skuad, khususnya melibatkan pelapis muda yang berpotensi.

Malaysia dijangka berdepan cabaran getir apabila bertandang ke gelanggang Vietnam, yang terkenal sebagai antara kuasa besar bola sepak Asia Tenggara.

Justeru, kombinasi pemain berpengalaman dan tenaga baharu diharapkan mampu memberi impak positif dalam usaha memburu tiga mata penting bagi menghidupkan kempen kelayakan.

Kem latihan kali ini juga bakal menjadi medan penting untuk Cklamovski menilai keserasian pemain serta merangka strategi terbaik menjelang pertembungan getir itu.

Aksi menentang Vietnam bukan sahaja penting dari sudut pungutan mata, malah menjadi medan tebus maruah buat Harimau Malaya meskipun tidak layak ke kejohanan tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN