PETALING JAYA: Hasrat pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri untuk menghadiahkan podium dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 tidak kesampaian selepas kedua-duanya terlepas kedudukan tiga terbaik.
Fadhil yang turun dalam final elit lelaki dilihat memberi saingan sengit sebelum menamatkan perlumbaan di tempat keempat, hanya 0.111 saat (s) di belakang pemenang gangsa dari Taiwan.
Lebih perit, kedudukan tersebut sekali lagi menyaksikan pelumba negara sekadar hampir menyentuh podium tanpa mampu menembusi kelompok tiga terbaik.
Pingat emas menjadi milik China menerusi Xie Han diikuti rakan senegaranya Li Zhiwei, manakala gangsa diraih Kang Shih Feng dari Taiwan.
Dalam saingan wanita pula, Izzah berdepan nasib berbeza apabila dikenakan relegasi ketika berada dalam kelompok hadapan sekali gus menjejaskan peluangnya memburu podium.
Insiden itu menyaksikan Izzah diklasifikasikan di kedudukan kelima walaupun memiliki peluang untuk mencabar kedudukan lebih baik.
Keputusan itu turut menyaksikan Izzah gagal pertahan emas yang dimenanginya pada edisi tahun lalu di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan.
Emas acara wanita dimenangi China menerusi Yuan Liying diikuti Wang Lijuan, manakala gangsa menjadi milik Jepun menerusi Nakazawa Haruka.
Sementara itu, Muhammad Ridwan Sahrom menamatkan saingan di kedudukan kelapan dalam final 7-12 selepas gagal menyaingi rentak pelumba Asia lain.
Dalam kategori wanita, Nur Alyssa Mohd Farid turut menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh sekali gus melengkapkan keputusan hambar kem negara dalam acara keirin kali ini.
Untuk rekod, abang Ridwan, Muhammad Shah Firdaus meraih gangsa dalam acara keirin manakala Ridwan menduduki tempat keempat. – UTUSAN











