PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pendaftaran empat pemain warisan daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC adalah sah bagi musim Liga Malaysia 2025-2026.
Menurut kenyataan MFL, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Gabriel Palmero telah didaftarkan sebagai pemain tempatan mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia 2025-2026, menggunakan kad pengenalan sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Kami menegaskan tiada pelanggaran peraturan berlaku dalam pendaftaran keempat-empat pemain ini,” kata MFL.
Proses pendaftaran dilaksanakan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA CONNECT) seperti yang diperincikan dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, termasuk pematuhan kepada syarat salinan kad pengenalan atau pasport berwarna.
Bagaimanapun, MFL menekankan bahawa keputusan penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) masih berkuat kuasa. Ini bermakna keempat-empat pemain tidak dibenarkan beraksi dalam perlawanan rasmi sepanjang tempoh penggantungan.-UTUSAN










