PETALING JAYA: Pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah tidak mahu anak buahnya melakukan kesilapan mudah ketika berdepan Sabah di Stadium Likas, esok.
Katanya, kesilapan ketika tewas 0-4 kepada Selangor FC di MBPJ minggu lalu perlu segera dijadikan pengajaran ketika bertemu skuad kendalian Juan Torres Garrido.
Menurut Yusri, matlamat utama mereka adalah untuk berada di kedudukan pertengahan liga, justeru setiap pemain perlu menyedari kepentingan perlawanan tersebut.
“Kita tidak mahu ketinggalan lebih jauh daripada pesaing yang setanding. Jika kita gagal membawa pulang mata dari Likas, baki lima perlawanan selepas ini akan menjadi sukar untuk memperoleh mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau juga menegaskan, perlawanan hari ini menuntut pemain meningkatkan mutu permainan, karakter serta fokus agar kelalaian sebelumnya tidak diulangi.
Berhadapan cabaran tanpa dua tonggak utama, Babacar Gueye dan Eduardo Sosa, yang terlepas perlawanan akibat kecederaan, Yusri menegaskan perlunya perancangan taktikal yang rapi.
“Sabah pasukan yang berpengalaman. Apa yang kita perlu lakukan adalah bersedia dengan sebarang perubahan taktikal daripada mereka,” katanya.
Selain itu, Yusri turut berharap pemain yang diturunkan dalam kesebelasan utama membalas kepercayaannya dengan mempamerkan aksi berkualiti.
“Ini mungkin peluang pertama mereka dan juga peluang untuk mengekalkan tempat dalam baki lima perlawanan yang tinggal,” tambahnya.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan mencatatkan keputusan seri 2-2 pada aksi pertama liga super di Penang.-UTUSAN









