PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, Ng Eain Yow terus dibelenggu kemerosotan prestasi setelah tumpas kepada jaguh remaja Mesir, Mohamad Zakaria pada suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Australia di Brisbane, Australia, hari ini.
Anak jati Kuala Lumpur yang menghuni ranking No. 19 dunia itu terpaksa akur dalam permainan empat set kepada bintang No. 9 dunia tersebut 7-11, 11-9, 8-11, 5-11 dalam masa 79 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Eain Yow kini semakin ketinggalan di belakang Mohamad yang baru berusia 18 tahun setelah hanya merekod satu kemenangan dan tiga kekalahan.
Eain Yow yang merupakan pemain perseorangan lelaki utama Malaysia menggalas harapan negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Namun, prestasi hambar yang dipamerkan pemain berusia 28 tahun itu sedikit membimbangkan, lebih-lebih lagi dalam persediaan bagi memburu slot ke temasya tersebut pada tahun depan.
Pada ketika ini, Eain Yow menjadi satu-satunya pemain perseorangan lelaki negara yang berada dalam kelompok 20 terbaik dunia, manakala, rakan seperjuangan yang lain seperti C. Ameeshanraj dan Sanjay Jeeva terlalu jauh ketinggalan di belakangnya.
Sementara itu, kegagalan Eain Yow pada Terbuka Australia, meninggalkan bintang No. 6 dunia, S. Sivasangari menjadi wakil tunggal Malaysia yang masih meneruskan perjuangan di separuh akhir.
Sivasangari dijadual berdepan pemain No. 12 dunia, Nele Gillis dari Belgium pada pukul 4.30 petang, esok.
Selaku pilihan pertama, Sivasangari menjadi kegemaran untuk muncul juara pada Terbuka Australia, kejohanan yang berstatus Gold itu. – UTUSAN










