WASHINGTON: Ahli Parlimen Demokrat menggesa Pentagon menjalankan secara adil terhadap serangan dilaporkan ke atas sebuah sekolah di Iran yang mengorbankan puluhan nyawa, selepas timbul dakwaan pasukan Amerika Syarikat (AS) mungkin bertanggungjawab.
Iran menuduh Israel dan AS melakukan serangan ke atas sekolah rendah di bandar selatan Minab pada awal perang, yang mengakibatkan lebih 150 kematian kebanyakannya pelajar.
Presiden Donald Trump menuduh Iran sebagai pihak bertanggungjawab, manakala Pentago mengesahkan siasatan sedang dijalankan.
“Analisis bebas mencadangkan serangan itu mungkin dilakukan oleh pasukan AS, yang jika benar, menjadikannya kes korban awam paling teruk dalam beberapa dekad oleh perasi ketenteraan Amerika di Asia Barat. Membunuh kanak-kanak di sekolah adalah mengejutkan dan tidak boleh diterima,” kata beberapa senator berpangkat tinggi dalam satu kenyataan bersama.
Mereka menegaskan, tragedi itu mesti disemak sepenuhnya dan secara adil oleh Ketua Pentagon, Pete Hegseth.
The New York Times mengesahkan video yang dimuat naik oleh agensi separa rasmi Iran, Mehr News, yang menunjukkan peluru berpandu jelajah Tomahawk milik AS menyerang struktur digambarkan sebagai klinik di pangkalan Pengawal Revolusi, bersebelahan sekolah terbabit.
Menurut laporan itu, dalam perang ini, satu-satunya tentera yang menggunakan Tomahawk adalah AS.
The Times sebelum ini melaporkan kenyataan tentera AS yang menunjukkan serangan terhadap sasaran laut berhampiran Selat Hormuz, menunjukkan kemungkinan besar mereka bertanggungjawab melakukan serangan itu.
Ahli-ahli politik berkata kejadian itu lebih membimbangkan memandangkan apa yang mereka gambarkan sebagai sikap ‘terlalu sambil lewa’ Hegseth, terhadap penggunaan kekerasan. Beliau sebelum ini berkata serangan AS di Iran tidak akan terikat dengan ‘peraturan penglibatan yang bodoh.
Antara penandatangan kenyataan itu ialah Jeanne Shaheen, Demokrat tertinggi dalam Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.
Agensi berita AFP setakat ini belum dapat melawat lokasi letupan sekolah untuk mengesahkan jumlah korban atau butiran kejadian sebenar.- AFP










