Cuba kembali bergelap, 10 juta penduduk terjejas

Cuba kembali bergelap, 10 juta penduduk terjejas

BEKALAN elektrik terputus di hampir keseluruhan Cuba. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAVANA: Lebih 10 juta penduduk Cuba mengalami gangguan bekalan elektrik selepas grid tenaga negara itu runtuh buat kali kedua dalam tempoh seminggu.

Kementerian Tenaga Cuba memaklumkan berlaku pemotongan sepenuhnya Sistem Elektrik Kebangsaan menerusi kenyataan di media sosial.

Pengendali grid Cuba, UNE, berkata bekalan elektrik sedang dipulihkan secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada kemudahan kritikal termasuk hospital dan sistem bekalan air.

Menjelang petang semalam, bekalan elektrik berjaya dipulihkan di kira-kira separuh kawasan di Havana, menurut syarikat elektrik bandar tersebut.

Negara Caribbean itu mengalami tiga gangguan bekalan elektrik besar-besaran bulan ini susulan sekatan bahan api oleh Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan import minyak asing, sumber penting untuk menjana kuasa di stesen elektrik.

Cuba turut mempunyai infrastruktur elektrik yang semakin uzur serta kekurangan bahan api kronik.

Dalam perkembangan berkaitan, gabungan kumpulan sosialis antarabangsa tiba di Havana hujung minggu lalu bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan Cuba, dengan membawa bantuan termasuk panel solar, kit makanan asas dan ubat-ubatan.

Konvoi ‘Nuestra America’ yang berlepas dari Mexico dilaporkan tertangguh akibat keadaan laut bergelora, namun dijangka tiba di pelabuhan Havana pada Isnin.

Sementara itu, ketidakpuasan awam yang jarang berlaku susulan krisis dan gangguan elektrik menyaksikan penduduk di tengah Havana keluar memprotes dengan memukul periuk dan kuali pada Isnin.

Di bandar Morón di tengah Cuba, penunjuk perasaan turut menyerang dan membakar ibu pejabat Parti Komunis pada hari yang sama.

Demonstrasi tanpa kebenaran adalah haram di Cuba, dan individu yang melanggar larangan tersebut berdepan risiko dipenjarakan.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN