PETALING JAYA: Cabaran wakil negara berakhir selepas beregu remaja, Kang Khai Xing-Aaron Tai tersingkir pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel, Switzerland, hari ini.
Khai Xing-Aaron yang menghuni ranking No. 27 dunia tewas straight set kepada beregu No. 24 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark 19-21, 15-21 dalam masa 37 minit.
Beregu muda yang berusia 19 tahun itu ditimpa kekalahan pertama kepada Lundgaard-Vestergaard kerana mereka belum pernah bertembung di pentas antarabangsa, sebelum ini.
Khai Xing-Aaron merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang masih bertahan sehingga ke suku akhir, selepas rakan senegara yang lain masing-masing terkandas di pusingan awal dan peringkat 16 terbaik.
Harapan bekas juara remaja dunia itu untuk memburu gelaran kedua pada kejohanan berstatus Super 300 itu juga tidak kesampaian dengan kekalahan tersebut.
Prestasi baik yang dipamerkan Khai Xing-Aaron terutama menjadi ‘giant killer’ pada All England, minggu lalu, dan di Terbuka Switzerland, memberi isyarat positif bahawa Malaysia kini memiliki beregu muda yang sudah mampu menggalas tanggungjawab berat di pentas antarabangsa.
Khai Xing-Aaron cuma perlu memastikan prestasi mereka terus dipertingkatkan dan menyertai kejohanan-kejohanan besar selepas ini sememangnya menjadi sasaran ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi bagi mematangkan gandingan muda itu. – UTUSAN










