BARCELONA: Barcelona mempamerkan aksi menyerang yang memukau apabila membelasah Newcastle United 7-2 dalam aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di Camp Nou, awal pagi tadi, sekali gus melangkah ke suku akhir dengan agregat 8-3.
Penyerang Brazil, Raphinha muncul wira dengan aksi cemerlang, mengetuai pesta jaringan Barcelona yang terus menampilkan ketajaman di jentera serangan.
Pasukan kendalian Hansi Flick itu bermula garang apabila Raphinha membuka tirai jaringan seawal minit keenam hasil gerakan pantas Fermin Lopez.
Namun, Newcastle tidak mudah mengalah apabila Anthony Elanga menyamakan kedudukan pada minit ke-15 sebelum kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan dalam babak pertama.
Barcelona kembali di hadapan menerusi jaringan Marc Bernal, namun Elanga sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-28 untuk mengikat kedudukan 2-2.
Tuan rumah bagaimanapun menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan apabila Lamine Yamal tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas semakan VAR mendapati kekasaran dilakukan Kieran Trippier.
Bersambung babak kedua, Barcelona menggandakan tekanan dan terus mendominasi permainan.
Fermin menjadikan kedudukan 4-2 pada minit ke-52 sebelum penyerang prolifik Poland, Robert Lewandowski meledak dua gol pantas masing-masing menerusi tandukan dan penyudah klinikal untuk melebarkan jurang jaringan.
Raphinha kemudian melengkapkan malam gemilangnya dengan gol ketujuh pada minit ke-73, sekali gus menutup tirai kemenangan bergaya gergasi Catalan itu.
Kemenangan besar ini menyaksikan Barcelona kini mengumpul 30 gol dalam kempen musim ini, namun dalam masa sama terus menimbulkan persoalan di bahagian pertahanan selepas dibolosi dua lagi gol.
Barcelona selepas ini bakal menentang seteru LaLiga, Atletico Madrid di peringkat suku akhir.-AGENSI










