WALAUPUN sudah beberapa tahun berlalu, namun rasa kehilangan dan kerinduan kepada susuk tubuh seorang bapa masih selalu ada dalam hati pelakon, Muaz Zabir. Tidak mudah baginya melalui lebaran apatah lagi arwah bapanya, Allahyarham Zabir menghembuskan nafas yang terakhir pada 2019 akibat kemalangan jalan raya iaitu beberapa hari menjelang Ramadan.
Mengenang kembali memori luka itu, Muaz mengakui pemergian bapa secara tiba-tiba dalam insiden itu tidak mudah diterimanya kerana berlaku sangat pantas buatnya dan keluarga. Allahyarham ketika itu membonceng motosikal melalui terowong berdekatan Sunway Pyramid.
“Kalau ayah sakit, kita mungkin sudah bersedia. Tapi ini kemalangan yang kebetulan waktu itu sudah mahu puasa. Itu adalah Ramadan dan raya yang paling perit buat saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah pelakon Tentang Hati Dia itu lagi, hatinya ibarat pecah setiap kali mengenang peristiwa itu. Akibat trauma yang mendalam, Muaz mengakui dia tidak sanggup melalui jalan yang meragut nyawa bapanya selama setahun selepas kejadian.
Muaz lebih rela melalui jalan yang lebih jauh kerana hatinya diserang rasa gundah dan sayu yang mendalam setiap kali melihat terowong yang memisahkan dia dan bapanya.
Tahun ini merupakan tahun ketujuh Muaz beraya tanpa bapa. Walaupun masa berlalu, namun suasana raya tidak akan pernah sama seperti ketika ayahnya masih ada. Walaupun arwah merupakan anak bongsu, namun beliau selalu menjadi susuk tubuh yang dicari keluarga besarnya.
Ketika ditanya mengenai kenangan manis yang boleh diingat semasa bapa masih hidup, Muaz mengakui dirinya seorang nakal dan kenangan paling indah adalah memori ketika dia dimarahi oleh arwah bapa.
“Saya ingat lagi kena marah sebab abah suruh mesin kelapa dan kopek kelapa, tapi saya pergi main mercun. Tapi teguran itu sebenarnya yang buat kami rapat anak-beranak,” ceritanya.
Malah, sepanjang arwah masih hidup, beliau selalu mengingatkan Muaz agar mendahulukan keluarga dalam banyak perkara. Kejayaan yang diperoleh tidak akan membawa apa-apa makna jika kita mengabaikan orang dicinta.
“Arwah abah pernah berpesan, kalau bekerja tetapi tidak dapat cuti hari raya, lebih baik berhenti kerja. Dia memang sangat mementingkan semangat balik kampung.
“Sejak kecil memang dididik begitu. Dulu masa kecil pernah juga merungut sebab kerap balik kampung. Tetapi bila sudah dewasa, barulah faham betapa pentingnya perkara itu,” katanya.
Kini, rutin pagi raya Muaz dimulakan dengan menziarahi kubur arwah ayahnya yang terletak berhampiran masjid di kampung mereka. Ia adalah janji setia seorang anak untuk terus mendoakan.
Ambil pendekatan sederhana
Tahun ini, Muaz memilih untuk bersikap sangat sederhana dalam persiapannya. Walaupun bergelar selebriti, dia tidak malu mengakui bahawa dia lebih selesa menyarungkan baju yang memang sudah tersimpan di dalam almari.
Prinsipnya mudah, selagi baju tahun-tahun lepas masih elok dan tidak koyak, Muaz akam menyarungkannya di pagi raya. Keputusan ini lahir daripada amalan berjimat cermat yang diamalkannya sejak terjun ke dalam industri seni apalagi sebagai pelakon, dia sedar bahawa punca pendapatan kadangkala tidak menentu.
“Kita tak tahu sejauh mana karier ini boleh bawa kita. Mungkin bulan depan atau dua bulan lagi tawaran berkurang, jadi simpanan itu sangat penting,” katanya.










