THE HAGUE: Amerika Syarikat (AS) akan mempertahankan sekutunya, Israel, daripada tuduhan di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pelanggaran Konvensyen Genosid ketika melancarkan kempen ketenteraan di Gaza.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 13 Mac memaklumkan Washington memfailkan ‘pengisytiharan campur tangan’ dalam kes genosid terhadap Israel yang difailkan oleh Afrika Selatan.
Dalam dokumen pemfailan itu, AS menegaskan tuduhan genosid terhadap Israel adalah tidak berasas.
“Amerika Syarikat menegaskan dengan sekeras-kerasnya dakwaan ‘genosid’ terhadap Israel adalah tidak benar,” menurut kenyataan yang difailkan Washington kepada mahkamah tersebut.
AS berkata, kes yang difailkan Afrika Selatan itu adalah yang terbaharu dalam siri tuduhan yang didakwanya cuba melabel Israel dengan dakwaan ‘genosid’ secara tidak benar sejak beberapa dekad lalu.
Washington turut menyatakan tuduhan sedemikian bertujuan ‘mendelegitimasi negara Israel dan rakyat Yahudi’ serta digunakan untuk membenarkan atau menggalakkan keganasan terhadap mereka.
Afrika Selatan memfailkan kes itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Disember 2023 dengan berhujah perang di Gaza melanggar Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948, dakwaan yang dinafikan keras oleh Israel.
Lebih 12 negara memohon untuk menyertai kes itu, bermakna mereka akan membentangkan pandangan masing-masing di mahkamah apabila kes didengar, proses yang berpotensi mengambil masa bertahun-tahun.
Ramai daripada mereka menyatakan niat untuk berhujah menyokong Afrika Selatan, membuka jalan bagi pertembungan besar-besaran di Istana Keamanan, lokasi Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Hakim ICJ mengeluarkan beberapa keputusan kecemasan dalam kes ini, termasuk mengarahkan Israel melakukan segala usaha untuk mengelakkan genosid di Gaza serta membenarkan bantuan kemanusiaan masuk.
Dalam satu keputusan berasingan, ICJ juga menyatakan Israel berkewajiban untuk menyediakan ‘keperluan asas’ bagi kelangsungan hidup rakyat Palestin.
Arahan ICJ yang berpangkalan di The Hague itu adalah sah dari segi undang-undang, tetapi mahkamah tidak mempunyai cara untuk menguatkuasakannya.
Pertempuran di Gaza mereda sejak gencatan senjata yang dimediasi AS pada Oktober antara Israel dan Hamas, namun masih berlaku letupan keganasan secara sporadik.- AFP










