AS musnahkan semua kapal pelombong Iran - Trump

AS musnahkan semua kapal pelombong Iran – Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan habis-habisan ke atas kapal pelombong Iran, ketika Presiden Donald Trump memberi amaran kepada Teheran mengenai akibat ketenteraan yang belum pernah berlaku jia ia menyasarkan Selat Hormuz.

Kenyataan Trump dibuat selepas Teheran berikrar tiada minyak Teluk akan melalui laluan perairan penting itu, sementara harga minyak kekal sangat tidak stabil berikutan hampir terhentinya penghantaran melalui selat tersebut.

“Saya gembira untuk melaporkan dalam beberapa jam terakhir, kami telah menyerang dan memusnahkan sepenuhnya 10 bot atau kapal pelombong yang tidak aktif, dan akan ada lebih banyak lagi!” kata Trump di platform Truth Social beliau.

Kemudian, Komando Pusat AS (CENTCOM) menulis di X bahawa jumlah tersebut meningkat kepada 16 kapal pelombong yang dimusnahkan di kawasan berhampiran Selat Hormuz.

Hantaran CENTCOM itu turut disertakan rakaman video tidak berklasifikasi yang menunjukkan pelbagai bot diserang dengan peluru berpandu atau projektil lain sehingga meletup.

Selepas beberapa media AS melaporkan Iran memulakan atau hampir mula melombong di Selat Hormuz, Trump berkata beliau tidak menerima laporan tindakan tersebut telah bermula.

Namun Trump memberi amaran: “Jika atas apa jua sebab periuk api diletakkan, dan ia tidak dikeluarkan serta-merta, akibat ketenteraan terhadap Iran akan berada pada tahap yang belum pernah dilihat sebelum ini.

“Sebaliknya, jika mereka mengeluarkan apa sahaja yang mungkin telah diletakkan, ia akan menjadi langkah gergasi ke arah yang betul!,” katanya.

Trump menambah AS juga akan menggunakan peluru berpandu yang sebelum ini digunakan untuk memusnahkan kapal pengedar dadah di perairan Amerika Latin bagi memusnahkan secara kekal mana-mana bot yang meletakkan periuk api di selat Teluk itu.

“Mereka akan diatasi dengan cepat dan ganas.”

Hampir satu perlima daripada pengeluaran minyak global melalui Selat Hormuz.

Rumah Putih berkata, AS masih belum mengiringi mana-mana kapal tangki minyak melalui laluan perairan itu, selepas akaun media sosial Setiausaha Tenaga memuat naik tetapi kemudian memadamkan dakwaan ia telah berbuat demikian.

Pentadbiran Trump menyenaraikan penghapusan tentera laut Iran sebagai objektif ketenteraan utama dalam ‘Operation Epic Fury’, serangan bersama AS-Israel ke atas Iran yang dilancarkan pada 28 Februari.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN