WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kerugian kira-kira AS$3.84 bilion (RM15.12 bilion) aset pertahanan dalam tempoh dua minggu pertama kempen ketenteraannya ke atas Iran yang dinamakan sebagai ‘Operasi Epic Fury’.
Menurut anggaran dan data dikumpul agensi Anadolu, kerugian terbesar berpunca daripada komponen radar AN/TPY-2 milik sistem pertahanan peluru berpandu THAAD di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan dan Arab Saudi yang rosak atau musnah, dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM7.8 bilion).
Walaupun tahap kerosakan tidak jelas, imej satelit yang dianalisis oleh pelbagai saluran mengesahkan empat radar AN/TPY-2 terkena serangan di lokasi-lokasi terbabit.
Selain itu, radar amaran awal AN/FPS-132 milik AS di Pangkalan Udara Al-Udeid, Qatar, bernilai AS$1.1 bilion (RM4.3 bilion), dilaporkan terkena peluru berpandu Iran ketika serangan balas bermula pada 28 Februari.
Pihak berkuasa Qatar mengesahkan radar itu mengalami kerosakan. Pegawai AS memaklumkan kepada CBS News setakat ini 11 pesawat tanpa pemandu MQ-9 Reaper terhempas.
Dengan kos seunit kira-kira AS$30 juta (RM118 juta), jumlah kerugian untuk dron berkenaan dianggarkan bernilai AS$330 juta (RM1.3 bilion).
Pada hari kedua serangan, tiga jet pejuang F-15E Strike Eangle hilang akibat insiden tembakan melibatkan pertahanan udara Kuwait.
Walaupun semua anak kapal selamat, pesawat tersebut musnah, dengan kos penggantian dianggarkan AS$282 juta (RM1.1 bilion).
Sebuah pesawat KC-135 Stratotanker terhempas di barat Iraq semasa operas pada Khamis, mengorbankan semua enam anak kapal.
Kos penggantian pesawat yang pertama kali digunakan pada akhir 1950-an itu dianggarkan AS$80 juta (RM315 juta), diselaraskan dengan inflasi.
Iran turut menyerang markas Armada Kelima Tentera Laut AS di Manama, Bahrain, memusnahkan dua terminal komunikasi satelit dan beberapa bangunan besar.
Laporan perisikan sumber terbuka mengenal pasti terminal komunikasi yang disasarkan sebagai AN/GSC-52B, dengan kos dianggarkan AS$20 juta (RM78.7 juta), termasuk kos penyediaan dan pemasangan.
Di samping kehilangan terminal di Bahrain, imej satelit yang dianalisis The New York Times menunjukkan tiga radom di Kem Arifjan di Kuwait musnah, menambah kerosakan kira‑kira AS$30 juta (RM118 juta).
Apabila semua kos itu digabungkan, AS kehilangan aset ketenteraan bernilai AS$3.84 bilion dalam perang yang sedang berlangsung dengan Iran.










