Arsenal mara penuh bergaya ke suku akhir

Arsenal mara penuh bergaya ke suku akhir

JARINGAN Eberechi Eze dan Declan Rice memastikan Arsenal melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan penuh bergaya selepas berjaya menundukkan Bayer Leverkusen di Stadium Emirates, awal pagi tadi-IHSAN FB ARSENAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Arsenal melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan penuh bergaya selepas menundukkan Bayer Leverkusen 2-0 pada aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Mikel Arteta melakar agregat 3-1 sekali gus mengekalkan rekod mara ke suku akhir buat musim ketiga berturut-turut.

Sering dikritik kerana kemenangan yang kurang meyakinkan musim ini, The Gunners akhirnya membuktikan kemampuan sebenar mereka apabila menghasilkan dua jaringan berkualiti untuk menamatkan cabaran wakil Jerman itu.

Kebuntuan dipecahkan menerusi rembatan jarak jauh padu Eberechi Eze pada penghujung babak pertama yang menewaskan penjaga gol Leverkusen.

Bersambung selepas rehat, Arsenal terus menguasai permainan sebelum Declan Rice menggandakan kelebihan menerusi penyudah tenang untuk mengesahkan kemenangan tuan rumah.

Pada aksi pertama minggu lalu, Arsenal hanya mampu mengikat Leverkusen 1-1 hasil sepakan penalti lewat Kai Havertz. Namun kali ini mereka tampil lebih meyakinkan untuk memastikan kemaraan ke kelompok lapan terbaik.

Di suku akhir nanti, Arsenal dijadual berdepan Sporting Lisbon yang melakukan kebangkitan dramatik menyingkirkan Bodo/Glimt dengan agregat 5-3 selepas ketinggalan tiga gol.

Pertemuan itu pastinya memberi keyakinan buat The Gunners yang pernah membelasah Sporting 5-1 di Lisbon pada peringkat kumpulan musim lalu.

Kemenangan ke atas Leverkusen juga menjadi tonik terbaik buat Arsenal menjelang final Piala Liga menentang Manchester City di Wembley, Ahad ini.

Skuad Arteta kini berada di landasan memburu empat trofi musim ini selain mendahului Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan sembilan mata di hadapan City ketika mengintai kejuaraan pertama liga dalam tempoh 22 tahun.

Selain itu, Arsenal turut dijadual menentang Southampton pada aksi suku akhir Piala FA bulan depan.

Kelab London itu masih memburu kejuaraan sulung Liga Juara-Juara dengan pencapaian terbaik mereka sebelum ini adalah mara ke final 2006 sebelum tewas kepada Barcelona.

Pada perlawanan ini, sensasi muda berusia 16 tahun, Max Dowman yang mencipta sejarah sebagai penjaring termuda EPL minggu lalu sekadar berada di bangku simpanan, namun ketiadaannya tidak menjejaskan rentak Arsenal yang tetap mudah menguasai perlawanan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN