SUZUKA: Pelumba muda Itali, Andrea Kimi Antonelli mencipta sejarah apabila muncul juara Grand Prix (GP) Jepun 2026 sekali gus menjadi pelumba termuda memimpin kedudukan keseluruhan Formula Satu (F1), hari ini.
Pelumba Mercedes itu meraih kemenangan kedua berturut-turut musim ini selepas memanfaatkan fasa kereta keselamatan untuk memintas kedudukan di Litar Suzuka.
Antonelli yang bermula dari petak utama bagaimanapun melakukan permulaan kurang menjadi apabila jatuh ke kedudukan keenam sebaik memasuki selekoh pertama.
Aksi awal perlumbaan dikuasai Oscar Piastri diikuti Charles Leclerc sebelum perlumbaan berubah arah di pertengahan saingan.
Kemalangan melibatkan Oliver Bearman memaksa kereta keselamatan dikeluarkan, sekali gus membuka ruang kepada strategi pit yang mengubah kedudukan keseluruhan.
Antonelli mengambil peluang tersebut untuk masuk ke pit pada waktu tepat sebelum kembali ke litar sebagai pendahulu perlumbaan.
Kemenangan itu menyaksikan beliau menamatkan perlumbaan di hadapan Piastri dan Leclerc, manakala rakan sepasukan George Russell sekadar di tempat keempat selepas strategi pit yang tidak memihak kepadanya.
Sementara itu, juara dunia bertahan Max Verstappen menamatkan perlumbaan di tempat kelapan selepas bermula dari kedudukan ke-11 di grid.
Keputusan tersebut mengukuhkan kedudukan Antonelli sebagai pendahulu kejuaraan dunia selepas tiga perlumbaan dengan 72 mata. – AGENSI











