JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengingatkan pemain agar tidak terlalu optimis apabila berdepan Sanfrecce Hiroshima pada aksi timbal balik pusingan 16 Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE), petang ini.
Menurut Munoz, kemenangan 3-1 pada aksi pertama kedua-dua pasukan itu tidak seharusnya menjadi ukuran susulan kelab Liga Jepun itu dijangka akan bermain bermati-matian bagi menyamakan kedudukan.
Sehubungan itu katanya, skuad Harimau Selatan perlu mengekalkan mentaliti berani serta disiplin taktikal tinggi apabila menentang Sanfrecce Hiroshima di gelanggang mereka sendiri.
“Kita tidak boleh turun dengan rasa takut atau terlalu yakin meskipun memiliki kelebihan sebelum ini. Pemain perlu atur perlawanan dengan matang selain mengekalkan identiti permainan yang telah dirancang.
“Dalam aksi 90 minit, setiap aspek permainan perlu sempurna dari segi kawalan bola, mencipta peluang serta memanfaatkan setiap ruang bagi menjaringkan gol.
“Aspek taktikal seperti situasi bola mati, lontaran ke dalam dan transisi permainan juga perlu dilaksanakan dengan baik sepanjang perlawanan,” katanya.
Untuk rekod, Ager Aketxe, Bergson Da Silva dan Marcos Guilherme masing-masing menjaringkan satu gol bagi membantu JDT merekodkan keputusan 3-1 pada aksi pertama pusingan 16 Zon Timur, Rabu lalu.
Mengulas peluang pihaknya mara ke suku akhir, Xisco mengakui JDT mempunyai sedikit kelebihan namun mengingatkan pemain bahawa ia belum menjaminkan kemenangan.
“Saya mahu pemain mengekalkan pendekatan seperti ketika beraksi di laman sendiri dengan sasaran untuk memenangi perlawanan dan menutup permainan seawal mungkin.
“Pemain perlu bijak mencari keseimbangan antara menyerang dan bertahan, ini akan menjadi kunci bagi memastikan JDT mampu melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya.
Habis










